Kedah tidak berhasrat bubar DUN

Muhammad Sanusi menunjukkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dilancarkan sempena 100 hari pentadbiran PN Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi menunjukkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dilancarkan sempena 100 hari pentadbiran PN Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak berhasrat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan kestabilan politik negeri ditunjangi kerajaan Perikatan Nasional (PN) stabil dan kukuh.

Menurut beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan membuang banyak masa, tenaga dan sumber yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan negeri.

“Kalau berlaku pilihan raya di peringkat Parlimen, kita bersedia pada bila-bila masa. Kerajaan negeri tiada masalah kerana kita memiliki kerajaan yang kukuh dengan 23 kerusi berbanding pembangkang 13 kerusi,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035, sempena 100 hari pentadbiran Kedah Sejahtera di Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, selain Kedah, negeri-negeri yang stabil seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Perak tidak perlu membubarkan DUN.

“Untuk bubar Parlimen, terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, namun untuk Kedah tiada keperluan bubar. Kita teruskan pentadbiran seperti biasa,” katanya.

Mengulas sama ada pendekatan itu diambil atas faktor kestabilan politik kini atau gentar berdepan PRU, tegas beliau, ia suatu pembaziran.

“Saya tak takut berdepan PRU, orang politik tak gentar cuma kita tak mahu bazirkan banyak aspek seperti sumber tenaga dan masa.

Artikel Berkaitan:

Saya tak pasti keputusan di peringkat Pusat, tapi kalau di peringkat negeri, saya tidak akan ikut bubar,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, keperluan membubarkan DUN juga akan diperhalusi bersama kepimpinan semua parti peringkat negeri.

“Bagaimanapun, sekiranya parti gabungan PN peringkat Pusat mendapati ada keperluan untuk negeri bubar serentak dengan Parlimen, kita akan patuh. Apa pun tertakluk kepada arahan Pusat,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, hubungan antara rakan gabungan PN Kedah menunjukkan kesepakatan yang baik.

“Kesepakatan yang ditunjukkan semua parti PN di Kedah melebihi jangkaan saya, kami akan belayar hingga tiba ke pelabuhan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tiada masalah untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa dalam usaha mengukuhkan kerajaan PN dengan memberi semula mandat kepada rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat senada dengan Pas apabila mencadangkan rakyat wajar menggunakan kuasa memilih tampuk pemerintahan yang dimahukan dan menjangkakan PRU15 akan diadakan dalam waktu terdekat.