Anggota polis ditahan minta rasuah RM100

Ayob (kanan) menyerahkan replika kunci kereta sebagai simbolik penyerahan 35 kereta peronda polis jenis Honda Civic 1.8 S untuk kegunaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Johor di Padang Kawad IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayob (kanan) menyerahkan replika kunci kereta sebagai simbolik penyerahan 35 kereta peronda polis jenis Honda Civic 1.8 S untuk kegunaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Johor di Padang Kawad IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan selepas disyaki meminta RM100 daripada pemandu lori dalam satu sekatan jalan raya di Kem Pulada, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis berusia 32 tahun itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan selepas mangsa membuat satu laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pemandu lori itu ditahan ketika sekatan jalan raya di laluan sempadan Seri Alam dan Kota Tinggi pada jam 9 malam semalam sebelum anggota polis terbabit didakwa meminta wang RM100 untuk melepaskannya.

"Anggota polis terbabit disyaki meminta wang RM100 daripada pemandu lori tetapi pemandu tersebut membuat laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini selepas menyempurnakan majlis penyerahan 35 kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic 1.8 S di Padang Kawad IPK Johor di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad.

Ayob Khan berkata, anggota terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Katanya, tangkapan itu merupakan kes kedua selepas tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Seri Alam ditahan pada 4 Julai lalu kerana meminta rasuah daripada seorang pemandu lori ketika melakukan sekatan jalan raya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, waran sudah dikeluarkan ke atas dua anggota polis yang menghilangkan diri dan tidak hadir ke mahkamah minggu lalu atas tuduhan rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang mengesan mereka dan jalan terakhir ialah menyiarkan gambar di media sebagai individu yang dikehendaki," katanya.