KHSB jangka peningkatan pendapatan

Razali (depan, tengah) bersama ahli lembaga pengarah dan wakil KHSB dan kerajaan negeri.
Razali (depan, tengah) bersama ahli lembaga pengarah dan wakil KHSB dan kerajaan negeri.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB) menjangkakan peningkatan pendapatan kumpulan syarikat dalam tempoh enam bulan sepanjang tempoh pemulihan pasca Covid-19 melalui enam sektor perniagaan diceburinya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kesemua anak syarikat KHSB mencatatkan keuntungan kecuali dua syarikat yang mengalami kerugian.

Menurutnya, walaupun operasi harian tergendala disebabkan Covid-19 di beberapa kategori perniagaannya, syarikat masih mampu mencatatkan hasil walaupun sedikit menurun.

“Sekarang ini dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga Disember nanti, kita akan memberikan tumpuan kepada usaha merancang dan melaksanakan pelbagai pelan perniagaan agar pendapatan syarikat terus meningkat.

“Syarikat yang berteraskan perladangan dan perkilangan yang mana aktiviti utamanya adalah mengeluar dan memproses kelapa sawit antara yang mampu menyumbang dividen yang tinggi kepada pemegang saham.

“Kita akan terus memfokuskan kepada enam sektor perniagaan iaitu seperti perladangan dan komoditi, pengkuarian, hartanah, pendidikan, penternakan dan pelancongan,” katanya.

Razali
Razali

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikan Pelantikan Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd di Hotel Primula di sini.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 59 orang hli lembaga pengarah baharu bagi 16 syarikat KHSB menerima watikah pelantikan masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, pihaknya akan menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 dalam melonjakkan kembali sektor pelancongan di Tasik Kenyir.

Jelasnya, antara program yang akan dibuat ialah melepaskan sejuta benih anak ikan spesies hampir pupus pada Januari, Jelajah Eksplorasi Media Tasik Kenyir, Kenyir Bird and Nature Quest, Kembara Eksplorasi Gunung Gagau dan Kenyir Snake Headbattle (pertandingan memancing spesies ikan pemburu).

"Kita juga akan merangka program pada musim monsun, memandangkan pulau-pulau peranginan ditutup dalam tempoh itu.

"Secara tidak langsung, Tasik Kenyir akan menerima kunjungan sepanjang tahun dengan pelbagai aktiviti dan tarikan yang disediakan,” katanya.