Kusangka dua rupa-rupanya tiga

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan yakin semua orang suka menonton filem P Ramlee. Walaupun sudah berulang kali menonton, tapi kita tidak pernah jemu.

Salah satu filem yang Merak Jalanan gemar ialah Madu Tiga. Ia mengisahkan seorang lelaki, Jamil yang mempunyai tiga isteri. Salah satu dialog yang paling popular dalam filem itu ialah “Pah, butang baju Melayu aku mana Pah?”

Baru-baru ini, Merak Jalanan bertemu seorang rakan, Fauzi di sebuah kopitiam popular di Shah Alam. Dia kata, apa yang berlaku dalam filem Madu Tiga itu bukan sekadar dalam filem tetapi berlaku dalam dunia hari ini.

“Memang P Ramlee seorang yang genius. Pemikirannya mendahului zaman,” kata Fauzi.

Kisah berlaku kepada keluarganya sendiri. Kata Fauzi, salah seorang kakaknya berpoligami dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu van. Keluarga tidak membantah kerana itu adalah pilihan kakaknya sendiri, asalkan dia bahagia.

Suaminya pula seorang yang baik dan kuat bekerja. Maklumlah bukan mudah menyara dua keluarga. Keluarga isteri tua pun tahu kewujudan kakaknya sebagai madu.

Rupanya-rupanya dalam diam-diam, si suami menghadiahkan isteri-isterinya itu dengan ‘isteri baharu’. Sama macam dialog Madu Tiga, “Jamil... Jamil... kusangka dua rupanya tiga....”

Cuma, katanya, kewujudan orang ketiga itu hanya diketahui selepas abang iparnya itu meninggal dunia. Dua hari selepas pengebumian, ada seorang wanita menangis teresak-esak di kuburnya.

Artikel Berkaitan:

Kesimpulannya, jangan percaya sangat dengan orang yang baik macam ‘Abang Jamil’. Senyap-senyap saja tapi ada tiga isteri.

Merak Jalanan sendiri pun tak berani. Bukan takut isteri tapi isteri yang tak takut pada kita. Ada satu pun sudah pening kepala apa lagi kalau ada tiga!