Gaya nampak mewah tapi pengotor!

Penyewa yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pemilik mengalami kerugian teruk.
Penyewa yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pemilik mengalami kerugian teruk.
A
A
A

SEBELUM ini, Merak Jalanan dengar macam-macam kisah penyewa bermasalah. Ada yang culas bayar sewa, ada yang rosakkan rumah. Namun kali ini, kena pada 'batang hidung' sendiri. Penyewa dari 'neraka' itu memang wujud.

Rumah disewakan bukan sahaja ditinggalkan dalam keadaan kotor, malah dipenuhi timbunan sampah. Bil utiliti tertunggak lebih RM2,000. Bil air cecah lebih RM1,000 sehingga terima surat amaran pemotongan. Bila diselidiki, rupanya sudah bertahun penyewa tak bayar bil air.

Jujurnya, Merak Jalanan bukan memilih penyewa secara sambil lewa. Mereka kelihatan berpendidikan, mempunyai jawatan, berpakaian kemas dan memandu kereta mewah. Si isteri pula sentiasa bergaya dengan solekan rapi.

Namun, siapa sangka sebaik pintu rumah dibuka, sampah bertimbun, kain baju merata, dapur pun berkerak. Keadaan keseluruhannya langsung tidak mencerminkan penampilan mereka.

Pelik, kalau suka simpan sampah, tinggal di tempat kotor, lebih baik saja mereka tinggal di rumah sampah. Tetapi apabila hendak menyewa, pandai pula pilih rumah bersih dan selesa.

Apa yang lebih meruntun hati Merak Jalanan, pasangan ini mempunyai dua anak kecil berusia enam dan tujuh tahun, termasuk seorang anak autisme. Sebagai seorang ibu, Merak Jalanan benar-benar kasihan memikirkan bagaimana anak-anak itu membesar dalam persekitaran yang tidak sihat.

Ya, Merak Jalanan memang rugi banyak. Kos membaiki rumah bukan sedikit. Namun apa yang paling menghantui fikiran ialah nasib anak-anak tersebut.

Sebab itu Merak Jalanan tidak berdiam diri. Laporan dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya kebajikan kanak-kanak itu dipantau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!