Ahli Parlimen Batu lapor polis isu projek rundingan terus

Prabakaran (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur hari ini.
Prabakaran (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berhubung isu projek sisa pepejal menerusi rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Prabakaran berkata, pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini pada jam 11 pagi tadi.

"Saya juga akan membuat laporan yang sama di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selasa ini.

"Antara projek rundingan terus itu adalah projek sisa pepejal di Kepong, Zuraida dalam kenyataannya mendakwa pemberian projek itu adalah di luar pengetahuannya," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Zuraida itu bercanggah dengan kenyataan yang telah dimuat naik di laman Facebooknya pada 10 Disember lalu.

"Zuraida juga memuat naik maklumat berserta gambar beliau melawat lokasi pelaksanaan projek sisa pepejal selain berjumpa dengan kontraktor projek itu pada tahun lalu," katanya.

Prabakaran berkata, projek itu menggunakan wang rakyat.

"Kerajaan seharusnya menggunakan dana dengan cermat dan bertanggungjawab," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah tender secara rundingan terus yang diluluskan ketika PH mentadbir.