X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Aset APMM buka tirai sambutan ambang merdeka di drawbridge

Antara eksesais yang akan ditunjukkan oleh APMM pada 31 Ogos 2020 antara jam 10 hingga 12 tengah hari dengan penampilan khas kapal dan bot APMM berserta sebuah helikopter dan penerjunan khas di Muara Sungai Terengganu. - Foto Ihsan Facebook Terengganu Drawbridge
A
A

KUALA TERENGGANU – Sambutan Hari Kebangsaan 2020 bertemakan Malaysia Prihatin di Terengganu mempamerkan kelainan kerana julung kalinya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dipilih untuk membuka tirai sambutan ambang merdeka di Terengganu malam ini.

Pertunjukan akan dimulakan dengan pembukaan ‘drawspan’ drawbridge bagi memberi laluan kepada Kapal Maritim (KM) Bagahak dan KM Gemia pada jam 11.55 malam disusuli dengan perarakan masuk kapal dan bot APMM dengan nyalaan lampu serta pertunjukan bunga api pada jam 12.01 tengah malam.

Pihak pengurusan drawbridge, TI Properties dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bekerjasama bersama APMM untuk mengadakan pameran kapal, bot dan kelengkapan APMM di Galeri Terengganu Drawbridge.

Katanya, pameran itu antara lain bertujuan memberi pengetahuan kepada orang ramai mengenai tanggungjawab APMM dalam mengawal selia perairan di Terengganu dari pencerobohan lanun dan nelayan asing yang mengaut hasil laut serta kekayaan di perairan negara.

Menurut kenyataan berkenaan, pameran yang akan diadakan malam ini akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim merangkap Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi pada jam 10 malam sebelum mengadakan sidang akhbar bersama Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som.

“Kerjasama antara TI Properties dan APMM Negeri Terengganu ini akan memberi impak yang besar bagi domestic tourism (pelancongan domestik) di mana kerajaan kini menggalakkan rakyat Malaysia supaya melancong di dalam negara bagi membantu menaikkan ekonomi di Terengganu,” katanya.

Selain pembukaan ambang merdeka, daun jambatan atau bascule drawbridge juga akan diangkat pada jam 10 hingga 10.30 pagi esok sempena perarakan lintas hormat kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan melalui arus pelayaran utama muara sungai di situ.

Antara aset-aset APMM yang terlibat ialah kapal KM Pekan, KM Tok Bali, KM Gemia, KM Begahak, Pengalang 16, Pengalang 45 dan Pengawal 16 sebelum disusuli dengan demonstrasi kapal bot dan kecekapan pegawai-pegawai APMM beraksi.

Drawbridge Terengganu merupakan satu-satunya jambatan angkat dengan menara terpanjang di Asia Tenggara.

Ia merupakan produk pelancongan terbaharu bagi Terengganu yang kini telah dilawati lebih 250,000 pengunjung sejak pembukaan Menara Galeri pada pertengahan September 2019.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!