Perarakan berkuda semarak Hari Kebangsaan, Jubli Perak Putrajaya

Aminuddin mengetuai Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Aminuddin mengetuai Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perarakan 88 ekor kuda sejauh 6.7 kilometer di Putrajaya hari ini memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya.

Perarakan berkuda itu yang membawa Jalur Gemilang dan bendera Jubli Perak Putrajaya diketuai oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim melibatkan unit berkuda daripada empat agensi iaitu PPj, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam.

Jumlah 88 ekor kuda itu adalah simbolik 63 tahun kemerdekaan negara dan 25 tahun penubuhan Putrajaya.

Perarakan itu yang bermula dari Dataran Putra di hadapan sejumlah penonton, membuat lintas hormat di hadapan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di dataran berkenaan.

Komandan Unit Berkuda FRU, Noor Hidayah Damanhoori memimpin pasukannya semasa Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam di Jambatan Putra hari ini. - Foto Bernama
Komandan Unit Berkuda FRU, Noor Hidayah Damanhoori memimpin pasukannya semasa Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam di Jambatan Putra hari ini. - Foto Bernama

Aminuddin kemudian menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera Jubli Perak Putrajaya kepada Annuar sebelum perarakan diteruskan ke Taman Ekuestrian Putrajaya di Presint 5.

Annuar yang ditemui media selepas perarakan berkuda itu berkata, Putrajaya berbangga apabila sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan esok selepas menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: