Logo PN, BN ada persamaan, strategi tambat hati pengundi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Logo baharu Perikatan Nasional (PN) dilihat mempunyai persamaan dengan logo Barisan Nasional (BN) kerana dipercayai mahu menambat hati dan mencuri perhatian pengundi khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan.

Logo baharu PN itu hanya menggunakan warna biru tua sebagai warna latar berserta tulisan putih Perikatan Nasional menyerupai logo BN yang turut menggunakan latar biru tua manakala simbol dacingnya juga berwarna putih.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, penggunaan logo yang mempunyai persamaan dengan BN itu disifatkan sebagai satu strategi yang dilakukan PN untuk menunjukkan kepada pengundi tentang kemesraan antara PN dan BN.

"Logo PN ini akan digunakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan parti-parti tempatan di Sabah yang menyokong gabungan ini ketika bertanding nanti.

"UMNO yang merupakan parti komponen utama BN pula sebelum ini sudah menyatakan pendirian yang mereka menarik diri daripada PN dan mereka akan menggunakan logo BN. Memang diakui kalau guna logo BN, ia akan lebih berpengaruh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Media hari ini melaporkan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan telah melancarkan logo PN di Sabah.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Atory berkata, PN dan BN juga sememangnya mempunyai matlamat sama iaitu untuk menentang Pakatan Harapan (PH) diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Justeru, kata beliau, kedua-dua gabungan parti itu akan mengelakkan berlakunya pertindihan calon dengan memutuskan hanya seorang calon antara mereka untuk bertanding bagi melawan calon PH.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, apabila berlaku keadaan itu, logo PN dan BN yang hampir sama antara satu sama lain itu akan memudahkan pengundi untuk memberikan undi kepada parti kerajaan.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berpendapat, elemen sejarah diambil kira oleh Presiden Bersatu dalam menghasilkan logo PN hingga logo tersebut bukan sahaja mempunyai persamaan dengan logo BN malah turut menyerupai logo Parti Perikatan.

"Kita tak boleh nafikan kewujudkan Parti Perikatan yang diasaskan Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra sehingga diteruskan dengan gabungan politik yang lebih luas melalui Barisan Nasional (BN) oleh Tun Abdul Razak Hussein dan ia diteruskan hingga hari ni.

"Model gabungan parti politik yang dibuat melalui Parti Perikatan dan BN itu adalah sangat berjaya sehingga ditiru oleh kelompok parti lain. Jadi sentimen ini saya fikir bukanlah sentimen yang keterlaluan tetapi ia adalah wajar kerana penghormatan kepada konsep gabungan terdahulu," katanya.

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, penggunaan logo yang memiliki persamaan itu juga memberi gambaran yang membawa maksud perdamaian antara PN dan BN.

"Maksudnya BN diharapkan boleh menerima pendekatan (logo hampir sama) yang dibuat ini supaya mereka tidak kelihatan seolah-olah diketepikan dan sebagainya oleh Bersatu," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, logo yang diketengahkan itu menunjukkan kesungguhan PN untuk mewujudkan satu blok parti yang memerintah negara.

Katanya, ia boleh digunakan dan didaftarkan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memuktamadkan agar dapat digunakan setiap kali pilihan raya.