PMM mahu ketengah bakat atlet muay thai kepada tinju

Mohammad Rifdean ialah atlet muay thai nombor satu dunia bagi kategori 46kg.
Mohammad Rifdean ialah atlet muay thai nombor satu dunia bagi kategori 46kg.
A
A
A

PERSATUAN Muay Thai Malaysia (PMM) bercadang untuk mengetengahkan bakat atlet berpotensinya, Mohammad Rifdean Masdor kepada sukan tinju dalam usaha membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Presiden PMM, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, ia adalah percubaan pertama bagi Malaysia untuk menukar atlet sukan muay thai kepada tinju biarpun cara berkenaan diguna pakai secara meluas di negara Asia Tenggara lain seperti Thailand dan Vietnam.

"Saya telah cadangkan percubaan ini kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan mereka akan membawanya ke peringkat tertinggi.

"Ia wajar dilakukan kerana Mohammad Rifdean adalah atlet muay thai nombor satu dunia (kategori 46kg) dan beliau mempunyai potensi besar dalam sukan tempur," katanya kepada media, di sini.

Muhammad Shahnaz berkata, beliau percaya melalui pertukaran itu adalah tidak mustahil untuk Mohammad Rifdean memberi kejutan di Sukan Olimpik suatu hari nanti kerana kebanyakan pemenang acara tinju di temasya terbesar dunia itu hadir menerusi sukan muay thai.

"Saya harap Mohammad Rifdean dapat diserapkan ke skuad Olimpik negara menerusi sukan tinju sebab dia sangat berbakat, memiliki fizikal yang kuat, masih muda serta dahagakan kejayaan.

"Sukan muay thai hanya di peringkat Sukan SEA dan Asia sahaja, manakala Olimpik adalah pengiktirafan tertinggi dalam sukan. Dia boleh membantu skuad tinju cipta kejayaan di Olimpik," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Shahnaz berharap kerjasama melibatkan PMM dengan Persatuan Tinju Malaysia (PTM) dapat berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Kami yakin jika mendapat kelulusan daripada MSN, kerjasama antara PMM dan PTM dapat dilaksanakan dengan baik," katanya. - Bernama