X

Kindly register in order to view this article
!

Mampukah Kamala Harris bawa kemenangan kepada Joe Biden?

Kamala Harris
A
A

PEMILIHAN Senator California, Kamala Harris yang berketurunan India sebagai calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) telah merancakkan lagi kempen pilihan raya Presiden negara itu yang akan berlangsung dalam tempoh lebih dua bulan lagi.

Harris yang berusia 55 tahun merupakan wanita kulit hitam dan Asia pertama dicalonkan untuk jawatan tersebut sekali gus menjadi regu calon Presiden AS, Joe Biden bagi mewakili Parti Demokrat.

Beliau menentang Presiden AS, Donald Trump dan regunya, Mike Pence daripada Parti Republikan yang mahu mengekalkan jawatan itu bagi penggal kedua.

Pengumuman pemilihan senator itu yang mempunyai sejarah perkhidmatan sebagai Ketua Peguam di negeri California pada 11 Ogos lalu oleh Biden bukan sahaja mendapat liputan meluas di AS tetapi juga di India dan Jamaica.

Liputan meluas itu diberikan bukan kerana warna kulitnya tetapi juga sejarah kehidupan keluarga imigrannya kerana bapanya merupakan seorang profesor ekonomi dari Jamaica manakala ibunya pula penyelidik kanser terkenal dari India tetapi berjaya membina kehidupan di AS.

Darah keturunan Harris itu dipercayai boleh membantu kempen Biden.

Ini adalah kerana pemilihannya dibuat ketika negara ‘Uncle Sam’ itu dilanda dengan isu ketidakadilan perkauman akibat kematian seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd pada Mei lalu sehingga mencetuskan gerakan Black Live Matter di kebanyakan negara maju lain.

Floyd ditahan kerana didakwa menggunakan wang palsu di sebuah kedai di Minneapolis, AS dan meninggal dunia selepas seorang pegawai polis berkulit putih didakwa menggunakan lutut bagi mengepit lehernya.

Justeru, beberapa pegawai polis dituduh dalam kes pembunuhan itu yang mendorong bukan sahaja tunjuk perasaan bagi membela kematian Floyd tetapi juga meminta satu perubahan dilakukan dalam pasukan polis.

Pengundi-pengundi Amerika Syarikat akan memilih presiden negara itu pada bulan November ini. -Foto AFP
Pengundi-pengundi Amerika Syarikat akan memilih presiden negara itu pada bulan November ini. -Foto AFP

Justeru, dalam kempen pilihan raya AS itu baru-baru ini, Harris membidas Trump dan mendakwa dia gagal mentadbir negara dengan baik selain kaedahnya bagi mengendalikan wabak koronavirus (Covid-19) yang sehingga kini mencatatkan lebih 181,000 kematian dan lebih lima juta kes jangkitan berlaku di AS.

Sementara itu, Trump dilihat tidak menguruskan ekonomi dengan cemerlang apabila dalam penggal pertama pemerintahannya, kadar pengangguran pada bulan Jun lalu mencatatkan angka 11.1 peratus iaitu yang tertinggi bagi tempoh 70 tahun selain diselubungi masalah penurunan keluaran kilang terbesar dalam sejarah moden AS manakala banyak perniagaan mengalami kegagalan akibat Covid-19.

Seorang penolong profesor sains politik Universiti Chatham di Pittsburgh, Pennsylvania, Dr Jennie Sweet-Cushman pula berpendapat, Harris mungkin dapat membantu Biden bagi meningkatkan undi pengundi berkulit hitam.

Namun, persolan utama seperti dikeluarkan akhbar New York Daily News, adakah wanita itu mampu meyakinkan lelaki berkulit hitam yang mengundi untuk Trump pada pilihan raya Presiden AS lalu beralih arah dengan memberikan undi kepada Biden?

Bagaimanapun, katanya, Harris merupakan ‘pertaruhan selamat’ untuk Biden untuk memenangi pilihan raya AS kerana dia mempunyai pengalaman dalam Dewan Senat dan juga bekas pendakwa raya.

Pengumuman pemilihan wanita berkulit hitam itu juga memberi tamparan kepada Trump.Ini adalah kerana Presiden AS itu sanggup menggelarkannya sebagai seorang yang ‘jahat’ dan mendakwa Harris pernah menyatakan Biden sebagai seorang yang rasis.

Calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (kiri) bersama calon Naib Presiden, Kamala Harris pada majis mengumpul dana di sebuah hotel di Wilmington, Delaware baru-baru ini. -Foto AFP
Calon Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (kiri) bersama calon Naib Presiden, Kamala Harris pada majis mengumpul dana di sebuah hotel di Wilmington, Delaware baru-baru ini. -Foto AFP

Namun, pada tahun 2019, calon Naib Presiden AS itu pernah terlibat dalam perdebatan dengan Biden berhubung amalan pemisahan pelajar sekolah berdasarkan warna kulit di dalam bas yang pernah berlaku pada tahun 1950-an tetapi dia berkata sebaliknya: “Saya tidak percaya anda (Biden) seorang yang rasis.”

Ironinya, dia kini menjadi regu Biden walaupun pernah menjadi ‘seteru’ dalam perdebatan bagi mendapatkan pencalonan jawatan Presiden AS itu daripada anggota-anggota parti Demokrat.

Trump juga menganggap Harris tidak cekap memegang jawatan itu.

Sebelum ini, wanita itu gagal untuk menjadi calon Presiden AS mewakili Parti Demokrat bagi penggal 2020-2024 selepas bertindak menarik diri daripada perlumbaan ke Rumah Putih pada awal tahun lalu berikutan kemerosotan undi dalam tinjauan pendapat.

Penarikan diri itu menyebabkan Biden memilihnya sebagai calon Naib Presiden AS.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Naib Presidennya, Mike Pence berusaha mengekalkan jawatan bagi penggal kedua melalui piihan raya presiden pada tahun ini. -Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Naib Presidennya, Mike Pence berusaha mengekalkan jawatan bagi penggal kedua melalui piihan raya presiden pada tahun ini. -Foto AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!