Kemenangan BN isyarat rakyat tolak PH

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri menyifatkan kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor pada PRK Cameron Highlands adalah isyarat jelas rakyat menolak kerajaan PH.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa, rakyat juga sudah muak dengan segala penipuan dan fitnah yang dilakukan kerana ia langsung tidak membawa sebarang kebaikan.

"PH gunakan jentera dan aset kerajaan. PH gunakan duit dan pelbagai 'sumbangan' kerajaan.

"PH gunakan agensi kerajaan menyerang calon dan parti BN. Mereka silap. Mereka fikir rakyat tidak tahu menilai.

"Hari ini, rakyat menghantar mesej yang jelas kepada PH. Kemenangan kepada BN ini bermakna PH ditolak rakyat. Ini kemenangan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Mengulas mengenai kejayaan BN mempertahankan kerusi dan kemenangan Ramli di Cameron Highlands itu katanya, beliau yakin bekas pegawai kanan polis itu mampu membawa lebih kemajuan di kawasan yang bakal dipimpinnya nanti.

"Rakyat mahukan Ramli Mohd Nor mewakili suara mereka, orang asli pertama di Dewan Rakyat.

"Saya yakin beliau akan berusaha membawa kemajuan kepada Cameron Highlands, Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Najib turut merakamkan penghargaan atas sokongan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta semua kepimpinan dan ahli-ahli parti itu.

"Tahniah juga kepada kepimpinan tertinggi dan parti-parti komponen BN, Pengarah PRK Datuk Seri Wan Rosdy, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hassan dan jentera-jentera BN termasuk Umno-Umno Bahagian yang berkampung di PDM," katanya.

Ramli diumumkan menang selepas memperoleh 12,038 undi, manakala M Manogaran, 8,800 (PH) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib, 314, dan Wong Seng Yee, 283.

Terdahulu, PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Oktober lepas membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.