Kes waran tangkap: Azwanddin dakwa tak terima notis

Azwanddin
Azwanddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah hari ini mendakwa beliau tidak menerima notis atau panggilan daripada peguam Teresa Kok Suh Kim supaya hadir ke prosiding pendengaran permohonan komital yang difailkan bekas menteri DAP itu.

Menurut Azwanddin, dalam notis kebankrapan yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 12 Ogos 2020, tiada notis atau arahan diberikan kepada beliau untuk hadir ke mahkamah pada 28 Ogos (kelmarin).

“Mengenai kegagalan saya membuat permohonan maaf secara terbuka seperti didakwa Peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili Teresa, saya sudah berbuat demikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi keluar waran tangkap Azwanddin

“Sila rujuk laporan portal Malaysiakini bertarikh 17 Oktober 2019 bertajuk 'Azwanddin mohon maaf secara terbuka kepada Teresa Kok'.

“Jika saya menerima notis atau panggilan daripada pihak peguam Teresa Kok sudah pasti saya akan hadir di mahkamah dan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Azwanddin kerana gagal hadir pada prosiding komital difailkan bekas Menteri Industri Utama itu terhadapnya.

Peguam Datuk Sankara Nair, yang mewakili Teresa, memberitahu media bahawa keputusan itu dibuat oleh Hakim Datin Rohani Ismail yang bersetuju dengan permohonannya supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Azwanddin selepas beliau ingkar pada arahan mahkamah untuk hadir pada prosiding pendengaran permohonan komital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Hakim itu membuat keputusan dalam kamarnya. Azwanddin tidak diwakili peguam.

Permohonan komital itu difailkan berikutan Azwanddin telah melanggar terma penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah dikemukakan Teresa Kok terhadapnya yang telah diselesaikan secara baik, tahun lalu.

Azwanddin didakwa gagal mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai, 2019.

Sankara berkata, defendan (Azwanddin) sepatutnya tahu mengenai prosiding hari ini kerana surat pemberitahuan telah dihantar kepadanya sebelum tarikh pendengaran prosiding komital itu.

Sementara itu, Azwanddin berkata, untuk makluman, beliau sendiri telah beberapa kali berhubung dengan peguam yang mewakili Teresa Kok.

“Mereka (juga) mempunyai nombor telefon bimbit saya dan mereka juga pernah dihubungi oleh saya serta turut mengadakan perbincangan dalam kes melibatkan saman tersebut,” katanya.