Takwim hijrah rujukan umat Islam

Zulkifli (tengah) dan Wan Mohd Azizi (kiri) ketika perasmian Program Hijrah Merdeka dan Majlis Pelancaran Takwim Hijrah PICOMS MAIWP di Kampus Batu Muda PICOMS, kelmarin.
Zulkifli (tengah) dan Wan Mohd Azizi (kiri) ketika perasmian Program Hijrah Merdeka dan Majlis Pelancaran Takwim Hijrah PICOMS MAIWP di Kampus Batu Muda PICOMS, kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kalendar atau takwim hijrah boleh dijadikan panduan kepada umat Islam di negara ini untuk memperingati detik bersejarah dan tarikh penting dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, takwim Hijrah yang dihasilkan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS adalah usaha murni dalam memastikan kalendar hijrah dekat dengan jiwa seluruh Muslim.

Menurutnya, takwim berkenaan dihasilkan dengan kerjasama sebuah syarikat konsultan dalam mengilham dan mencetak takwim yang mempunyai sejarah Islam dan tarikh penting.

“Diharap takwim Islam ini dapat disebar luas dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian seluruh masyarakat Islam di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Hijrah Merdeka dan Majlis Pelancaran Takwim Hijrah PICOMS MAIWP di Dewan Utama PICOMS, Kampus Batu Muda di sini kelmarin.

Turut hadir, Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman.

Takwim dilham dan dicetak dengan kerjasama I Quest Training Consultancy tersebut dilengkapi ciri-ciri istimewa khusus kepada umat Islam sebagai panduan dan rujukan seharian.

Antara keistimewaannya, bulan-bulan haram diwarnakan dengan warna merah, tarikh tahun hijrah dibesarkan manakala tahun masihi dikecilkan dan turut ditandakan malam purnama penuh.

Selain itu, hari istimewa seperti Hari Asyura, Ghusi Kaabah dan Istiwa Al-Azam turut dipapar; terdapat kompas hijrah maklumat tentang hari sesuai untuk puasa sunat, baca al-Quran dan lain-lain selain Jumaat ditandakan warna hijau.

Artikel Berkaitan:

Dengan harga berpatutan, takwim hijrah itu boleh didapati di Biz Shoppe PICOMS di Kampus Batu Muda.

Pada program itu Zulkifli turut menyampaikan sumbangan Tabung Dana Wakalah Zakat PICOMS sebanyak RM1,000 kepada pelajar asnaf, Ahmad Zaidan Abdul Mohsin yang baru mendaftar sebagai penuntut jurusan Diploma Farmasi di PICOMS.

Sumbangan berkenaan merupakan hasil kutipan bayaran zakat PICOMS yang diagihkan semula kepada penerima berdasarkan kriteria asnaf antaranya fakir dan miskin.

Sementara itu, Wan Mohd Azizi berkata, pihaknya juga turut menjalinkan kerjasama dengan I Quest Training Consultancy bagi melaksanakan terapi muzik sebagai satu bidang kursus jangka pendek di PICOMS.