World #QuranHour satukan umat Islam

Suasana World#QuranHour di Masjid Bandar Diraja Klang pada Khamis.
Suasana World#QuranHour di Masjid Bandar Diraja Klang pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Program World #QuranHour mendapat sokongan dan penyertaan lebih daripada 100 orang di Masjid Bandar Diraja Klang pada tahun ini.

Imam satu masjid itu, Mohamad Hilmi Mat Hamin berkata, program kali ini nampak lebih meriah dan besar berbanding pada tahun lepas kerana mendapat kerjasama serta sokongan daripada semua pihak.

"Alhamdulillah, ramai yang datang untuk mengimarahkan masjid. Saya tahu mereka juga mempunyai program tersendiri namun disebabkan mukjizat al- Quran kita dapat menyatukan umat Islam di satu bumbung melalui program World #QuranHour.

"Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan kepada Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan. Jika ada perselisihan pendapat dan kemusykilan kitab suci itulah menyatukan segalanya," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyertai World #QuranHour yang bermula pada jam 12 tengah hari dan dipimpin oleh Ketua unit Pengurusan Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Kamarul Najam.

World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.

Tambah Mohamad Hilmi, diharapkan program sebegini akan diteruskan sepanjang tahun dan tidak terhenti pada bulan Ramadan.

"Kita jadikan bulan Ramadan sebagai permulaan bagi setiap individu dalam usaha untuk memperbaiki kualiti bacaan al-Quran dan meningkatkan iman pada bulan-bulan seterusnya, " katanya.

Sebahagian pelajar kelas aliran agama di daerah Kuantan yang menyertai World#QuranHour di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Khamis.
Sebahagian pelajar kelas aliran agama di daerah Kuantan yang menyertai World#QuranHour di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Khamis.

Sementara itu di PAHANG, World#QuranHour peringkat negeri ini lancar dengan penyertaan peserta dalam kalangan pelajar kelas aliran agama dari sekolah terpilih.

Program yang berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini itu turut disertai jemaah termasuk kumpulan kelas-kelas pengajian.

Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, program itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

Menurutnya, pihak JPN terutama sektor Pendidikan Islam memberi sokongan penuh dan memberikan kebenaran kepada sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar kelas aliran agama untuk menyertai program ini.

"Walaupun kehadiran peserta tidak seperti yang diharapkan, kita yakin orang ramai tetap turut berinteraksi dengan surah ini secara dalam talian melalui platform media sosial memandangkan penganjuran World#QuranHour ini telah tersebar luas," katanya.

World#QuranHour peringkat negeri Pahang bermula dengan bacaan surah al-Insan ayat 1 hingga 30 oleh qari, Shaifuddin Ngah manakala pentadabbur, Timbalan Kadi Daerah Kuantan, Mohd Hafidz Mohamad Suhaile.