X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas ditampar, ditendang dalam masjid

Rakaman CCTV memaparkan insiden yang berlaku di Masjid Felda Palong 7.
A
A

JEMPOL - Hanya kerana sejadah yang dipegangnya terkena pada seorang lelaki, seorang peneroka warga emas ditampar dan ditendang dalam kejadian selepas solat Isyak di Masjid Felda Palong 7 di sini malam tadi.

Rakaman video kejadian terbabit turut tular di Facebook dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, kejadian pada jam 9 malam itu mengakibatkan mangsa lelaki berusia 62 tahun cedera pada mata kanan dan berdarah hidung.

"Selepas mangsa selesai solat Isyak dan membawa sejadah untuk disimpan di rak yang disediakan, sejadah tersebut terkena di bahagian belakang suspek.

"Suspek yang berang telah menepis kaki mangsa lalu bertindak bangun dan menampar kepala mangsa sehingga songkok dan cermin mata mangsa terjatuh ke lantai," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa kemudian ditendang oleh suspek pada bahagian muka ketika ingin mengambil songkok dan cermin matanya yang jatuh.

Beliau berkata, insiden itu kemudiannya telah dileraikan oleh jemaah masjid dan mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Palong 7 untuk rawatan awal.

"Kejadian itu turut disaksikan oleh jemaah lain dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa tiada masalah dengan suspek dan saling mengenali sejak 10 tahun lalu," katanya.

Mohd Khairiel berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!