Tiga lelaki mengaku bersalah memandu mabuk

A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Khas Trafik Seremban hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Tertuduh, Cheng Hian Ying, 31, Yang King Fat, 51, dan N S Madhavan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Kesemua tertuduh masing-masing didenda RM5,500, RM5,000 dan RM6,000 dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan Hian Ying melakukan kesalahan itu di Jalan Sungai Ujong, Seremban pada lebih kurang jam 11 malam 21 Ogos 2020, manakala King Fat di Jalan Persiaran Utama Seremban 2 pada 1 Februari 2020 ketika sekatan jalan raya.

Madhavan pula melakukan kesalahan itu pada jam 12 tengah malam 19 Julai 2020 di Taman Bukit Berlian, Seremban apabila telah melanggar kereta penduduk di kawasan perumahan itu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda dari RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Madhavan turut didenda RM300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus.

Artikel Berkaitan: