GES galak pelajar hadir ke sekolah

Izmi (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada wakil SMK Pandan Indah yang menjuarai kategori Mobile Legends bagi sekolah menengah.
Izmi (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada wakil SMK Pandan Indah yang menjuarai kategori Mobile Legends bagi sekolah menengah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertandingan Generasi E-Sukan Sekolah Selangor (GES) 2.0 berjaya menarik 7,921 penyertaan pelajar melibatkan 1,787 pasukan dari 500 sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Izmi Ismail berkata, program anjuran JPNS, Persatuan Sukan Elektronik Negeri Selangor dan GenBijakDotMy yang mendapat tajaan dari Telekom Malaysia (TM) dan Realme itu mempertandingkan permainan PUBG dan Mobile Legends.

Menurutnya, ia terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah dan rendah di Selangor dalam usaha JPNS menarik pelajar hadir ke sekolah.

"Hanya pelajar yang mempunyai rekod kehadiran cemerlang sahaja dibenarkan untuk mewakili sekolah ke pertandingan e-sukan secara dalam talian yang diadakan sebanyak enam fasa dan sekarang sudah pun memasuki fasa kedua dan dijangka berakhir pada Januari tahun depan.

"Pertandingan ini diadakan secara dalam talian sepenuhnya bagi mendukung aspirasi digital Malaysia dan pada masa sama mengurangkan risiko penularan Covid-19," katanya pada majlis penyampaian hadiah GEM 2.0 di JPNS hari ini.

Katanya, GES menjadi platform bagi Persatuan Sukan Elektronik Negeri Selangor mencari atlet e-sukan bagi mewakili negeri Selangor ke kejohanan nasional dan antarabangsa.

"Ia sekali gus menidakkan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap sukan ini.

"Kemunculan Revolusi Industri 4.0 dengan kepelbagaian teknologi sehingga kita tidak boleh mengawal generasi muda dari bermain e-sukan. Namun kita harus memandu keghairahan mereka bermain sukan ini secara positif dan mendidik mereka tentang kaedah bermain e-sukan secara sihat menerusi GES," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam program itu, TM Malaysia dan Realme menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM36,000 termasuk barangan elektronik kepada pemenang.

Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa 2 dan Sekolah Kebangsaan Taman Cuepacs dinobat juara bagi permainan PUBG kategori sekolah menengah dan rendah.

Sementara juara Mobile Legend milik Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah dan Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan.