Tiada rundingan penggabungan Malaysia Airlines, AirAsia

Hasbi Habibollah
Hasbi Habibollah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang rundingan membabitkan cadangan penggabungan antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan AirAsia Bhd, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah.

Sebaliknya, beliau berkata, idea penggabungan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut hanya di peringkat perancangan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai status terkini penggabungan Malaysia Airlines dan AirAsia di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Idea penggabungan MAB dan AirAsia itu dibangkitkan pada April lepas dan dianggap antara pilihan untuk menyelamatkan kedua-dua syarikat yang terkesan akibat Covid-19.

Namun, pada Julai lepas, Khazanah Nasional Bhd yang juga pemilik penuh MAB berkata, sebarang penggabungan seumpamanya sukar dilaksanakan atas alasan model perniagaan dan budaya kerja berbeza.

Terdahulu, Hasbi berkata berkata syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh sehingga 18 bulan bagi sektor domestik manakala sektor antarabangsa sehingga tiga tahun untuk pulih sepenuhnya daripada impak Covid-19.

Menjawab pertanyaan Syed Ibrahim mengenai perancangan kerajaan dalam merancakkan pemulihan sektor penerbangan yang terjejas teruk pasca-Covid-19, beliau berkata penularan pandemik itu terbukti telah menjejaskan industri penerbangan negara dengan statistik menunjukkan trend penurunan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa sejak 1 Mac 2020.

Permintaan penumpang berkurangan daripada 280,321 penumpang sehari pada Januari lepas kepada hanya 7,500 sehari bagi Mei tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan unjuran senario trafik penumpang Malaysia tahun ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang akan berkurangan kepada 54.3 juta hingga 56 juta.

"Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 48.7 peratus sehingga 50.3 peratus pada Jun 2020,” katanya yang menambah MAVCOM akan menyemak semula unjuran sektor penerbangan itu berdasarkan perkembangan semasa.- Bernama