KPM sedia kaji keperluan buka semula PPD Muallim

Kehadiran Dr Mohd Radzi disambut pesara guru, Mohd Nadzri Mohd Nadzir di kediamannya di Taman Bandar Baru, Slim River hari ini.
Kehadiran Dr Mohd Radzi disambut pesara guru, Mohd Nadzri Mohd Nadzir di kediamannya di Taman Bandar Baru, Slim River hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Pendidikan akan meneliti cadangan untuk membuka semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim yang ditutup sejak hujung tahun lalu.

Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia selaras dengan keperluan daerah itu yang mempunyai bilangan sekolah tinggi dan PPD terdekat iaitu di Batang Padang pula terletak agak jauh.

Menurutnya, PPD Muallim sebelum ini merupakan satu daripada PPD Satelit di negara ini yang kini dalam peringkat perbincangan kementerian.

"Ada beberapa PPD Satelit di seluruh negara yang sedang dibincangkan dan diteliti di peringkat kementerian, ini termasuklah Muallim.

"Jadi kita sedang teliti (wujudkan semula PPD Muallim) perkara itu kerana kita sedar jumlah sekolah di kawasan ini terlalu banyak dan keperluan untuk ke (PPD) Batang Padang pula agak jauh," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dr Mohd Radzi (tengah) mengadakan kunjungan ke kediaman pasangan pesara guru, Che Rosnah Zainol, 60, dan Mohd Nadzri Mohd Nadzir, 62, di Taman Bandar Baru, Slim River hari ini.
Dr Mohd Radzi (tengah) mengadakan kunjungan ke kediaman pasangan pesara guru, Che Rosnah Zainol, 60, dan Mohd Nadzri Mohd Nadzir, 62, di Taman Bandar Baru, Slim River hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan ke kediaman pasangan pesara guru, Che Rosnah Zainol, 60, dan Mohd Nadzri Mohd Nadzir, 62, di Taman Bandar Baru, Slim River di sini.

Isu penutupan PPD Muallim pernah dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada November lalu.

Artikel Berkaitan:

Penutupan pejabat di bangunan Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki itu melibatkan pertukaran tempat dan anggota PPD Muallim yang ditempatkan kembali ke PPD Batang Patang di Tapah.

Terdahulu, Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Mohd Zaidi Aziz turut memohon agar pembukaan semula PPD Muallim dilakukan segera berikutan rungutan penduduk yang berdepan kesukaran menguruskan hal ehwal persekolahan anak-anak.