Menteri Kabinet pun ada 'WhatsApp group', kata Muhyiddin

A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab sindiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai tiada komunikasi atau kumpulan WhatsApp antara menteri Kabinet.

Katanya, memang ada kumpulan WhatsApp bagi tujuan komunikasi jemaah menteri PH.

"Ada, kita ada banyak," katanya ringkas ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku 9 Mei 2018 Catatan Dari Garis Depan karya Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini.

Najib menerusi hantaran di Facebook hari ini menyindir menteri Kabinet sebagai tidak berkomunikasi dan tiada grup Whatsapp.

Kenyataan tersebut dibuat selepas media melaporkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terkejut dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung penamatan kontrak China Communications Construction Group Ltd (CCCC) sebagai pemaju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Guan Eng berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Mohamed Azmin tidak dimaklumkan tentang beberapa perkara tertentu yang diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara itu sebelum ini.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kepada menteri terlibat dan bertanggungjawab mengulas secara terperinci tentang keputusan sebenar.

"Saya fikir biarlah menteri terlibat dan Perdana Menteri jelaskan. Saya punya portfolio tidak terlibat dengan ECRL. Untuk tidak menimbulkan lebih bangak kekeliruan, saya tak mahu buat apa-apa komen," katanya.

Beliau turut menasihati agar tidak ada kenyataan bercanggah dalam kalangan menteri lebih-lebih lagi melibatkan dasar dan keputusan kerajaan.

"Saya yakin akan ada satu kenyataan rasmi dibuat supaya tidak ada pihak buat lebih bangak spekulasi. Saya juga harap ada pendirian rasmi dalam hal ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia