Kajian terperinci sebelum lupus harga siling beras tempatan

Che Abdullah
Che Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan melaksanakan kajian pasaran terperinci sebelum mengemukakan cadangan pelupusan harga siling beras tempatan dan penetapan harga kawalan beras import, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat berhubung isu beras dan padi negara perlu berhati-hati dan memerlukan kajian teliti kerana ia merupakan satu industri strategik dan kritikal serta merupakan makanan utama rakyat Malaysia.

"Ia bagi memastikan impak perubahan harga tidak membebankan pengguna dan rakyat keseluruhannya," katanya pada sesi soal jawab.

Menjelaskan lanjut, katanya kerajaan telah memperkenalkan harga siling bagi beras tempatan bermula pada tahun 2008 bertujuan memastikan rakyat dan pengguna sentiasa memperoleh bekalan beras dengan harga berpatutan dan terkawal walaupun berlaku kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa.

Pada masa ini, katanya beras putih tempatan dengan kandungan hancur lima peratus dikawal tidak melebihi RM2.60 setiap kilogram dan bagi menampung kekurangan 30 peratus penggunaan beras di dalam negara, beras putih import digunakan dengan purata harga di pasaran sekitar RM2.80 hingga RM3 setiap kilogram.

"Mengambil kira berlaku beberapa perubahan dasar seperti kenaikan harga lantai belian padi yang telah diseragamkan daripada RM850 setiap tan metrik kepada RM1,200 setiap tan metrik pada tahun 2014, kementerian berpandangan kajian terhadap harga siling beras tempatan perlu laksanakan.

“Ini bagi memberi keadilan kepada pihak lain di sepanjang rantaian industri seperti pengilang dan pemborong memandangkan margin keuntungan perniagaan yang semakin mengecil kesan daripada harga siling runcit yang ditetapkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: