Nafas ringankan beban ahli Peladang Selangor

Dr Anis (dua dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Ahli Jemaah Pengarah PPK Bernam Jaya, Rizam Ismail (tengah) serta 13 lagi wakil dari PPK di Selangor pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam kelmarin.
Dr Anis (dua dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Ahli Jemaah Pengarah PPK Bernam Jaya, Rizam Ismail (tengah) serta 13 lagi wakil dari PPK di Selangor pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyampaikan sumbangan bernilai RM382,000 kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor dan 14 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Selangor.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas merangkap Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Dr Anis Mahmud.

Hadir sama, Ahli Jemaah Pengarah Nafas merangkap Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Datuk Abd Rahman Bakri.

PPN Selangor menerima RM80,000; wakalah zakat perniagaan Nafas dan RM50,000 pula sebagai geran pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan PPN.

Sementara itu, sumbangan kepada 14 PPK disampaikan kepada pengerusi setiap PPK di Selangor yang menerima RM18,000 masing-masing.

Dr Anis berkata, perincian sumbangan kepada setiap PPK tersebut melibatkan sumbangan wakalah zakat bernilai RM10,000 dan RM5,000 sebagai bantuan khas bagi meringankan beban ahli-ahli peladang yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Sumbangan RM3,000 lagi adalah geran pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan bagi setiap PPK.

“Semoga usaha dan niat murni Nafas melalui penganjuran majlis seumpama itu membawa kepada keberkatan pergerakan Pertubuhan Peladang serta industri pertanian secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

“Diharapkan PPK yang diamanahkan menerima sumbangan itu melakukan pengagihan kepada ahli-ahli peladang yang memerlukan bagi membantu meringankan beban dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada Pertubuhan Peladang di Selangor yang berlangsung di sebuah hotel di sini kelmarin.

Menurutnya, sumbangan itu diharap dapat memberi galakan dan motivasi kepada semua untuk terus maju dalam kehidupan mereka serta dapat merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara.

“Program ini dianjurkan sebagai komitmen Nafas untuk bukan sahaja memastikan kemajuan aktiviti perniagaan Nafas dan gerakan Pertubuhan Peladang, tetapi juga salah satu usaha Nafas menyumbang kembali serta berkongsi keuntungan kepada komuniti peladang.

“Sumbangan Nafas juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada lebih 900,000 ahli peladang yang berdaftar di seluruh negara,” katanya.