Jakoa diminta sedia laporan berhubung isu papan tanda

P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diminta menyediakan laporan berhubung isu pemasangan papan tanda projek pembangunan yang mempunyai logo jabatan berkenaan serta ‘Harapan Baharu Malaysia’ di tiga perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P. Waytha Moorthy berkata laporan tersebut perlu diserahkan kepadanya pada Isnin depan untuk diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya juga hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku sebab arahan adalah jelas kerana kerajaan baharu Pakatan Harapan tidak menggalakkan untuk menggunakan mekanisme dan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya.

“Saya sudah suruh perkara ini disiasat. Tapi semua projek kerajaan di semua tempat akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Science Fair for Young Children (SFYC) 2019, di sini hari ini.

Ketua Pengarah JAKOA Ajis Sitin dalam kenyataan semalam memohon maaf atas kesilapan susulan pemasangan papan tanda bagi projek pembangunan yang mempunyai logo jabatan berkenaan dan ‘Harapan Baharu Malaysia’ serta mengarahkan kontraktor untuk menurunkan papan tanda terbabit dengan serta-merta.

Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan kemudian, Waytha Moorthy berkata kerajaan Pakatan Harapan telah pun mengeluarkan arahan tegas supaya amalan kempen ala Barisan Nasional menggunakan jentera kerajaan tidak diguna pakai dalam mendorong orang ramai atau kemungkinan melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kita akan menyiasat sama ada kejadian ini, yang berlaku di tiga kampung di Bertam Valley, Cameron Highlands, merupakan satu sabotaj dalaman atau kerja-kerja pihak luar untuk memberi gambaran negatif terhadap kerajaan Pakatan Harapan,” kata menteri yang bertanggungjawab terhadap JAKOA itu.

Artikel Berkaitan: