Lima murid sekolah rendah dijangkiti Covid-19

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Lima murid membabitkan empat berusia 12 tahun dan seorang berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Kedah disahkan positif Covid-19 berkaitan Kluster Tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka dikesan melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif kluster tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati murid berkenaan ialah kontak rapat kepada kes ke-9,197 iaitu seorang murid prasekolah yang kesnya telah dilaporkan pada 16 Ogos lepas," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

"Lima pesakit kanak-kanak tersebut merupakan generasi ketiga Kluster Tawar dan dijangkiti daripada ibu bapa (murid prasekolah) sebelum menjangkiti rakan-rakan di sekolah. KKM masih menjalankan siasatan bagaimana murid berkenaan terdedah kepada Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sekolah terbabit telah ditutup buat sementara waktu.

"KKM ingin mengingatkan semua pihak sekolah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majilis Keselamatan Negara (MKN) termasuk SOP sebelum, semasa dan selepas sesi persekolahan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan menasihati dan mendidik anak-anak.

"Mereka perlu diberi penekanan terhadap amalan yang mesti dipraktikkan bagi mencegah jangkitan Covid-19 di dalam bas sekolah, bilik darjah dan semasa sebarang aktiviti sukan atau kurikulum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat jam 12 tengah hari, 3,547 individu telah disaring dalam Kluster Tawar. Seramai 70 individu dikesan positif Covid-19 termasuk enam dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu katanya, KKM merekodkan 11 kes baharu termasuk lima murid sekolah berkenaan.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 9,285 kes dengan kes aktif 189 kes," katanya.

Dr Noor Hisham menambah, seramai lapan pesakit ditempatkan di ICU dan enam memerlukan rawatan rapi.

Beliau juga memberitahu, jumlah kes kematian kekal kepada 125 kes selepas tiada kes berkaitan Covid-19 dilaporkan.

"Enam kes dilapor pulih dan dibenar discaj hari ini. Jumlah keseluruhan kes yang telah pulih adalah 8,971 kes bersamaan dengan 96.6 peratus," katanya.

Ditanya mengenai kanak-kanak merupakan penyebar Covid-19 mega secara senyap (silent super spreader) beliau berkata, KKM tidak mengesan perkara itu berlaku di negara ini.

"Setakat ini kita tidak mengesan kanak-kanak sebagai penyebar Covid-19. Ada peratusan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 tetapi ia tidak begitu serius," katanya.