Serahkan kepada kepimpinan parti: Nurul Izzah

Nurul Izzah bergambar bersama pelajar dalam program My kasih Love My School dan Program Kitar Semula Recycle or Life di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, Berapit, semalam.
Nurul Izzah bergambar bersama pelajar dalam program My kasih Love My School dan Program Kitar Semula Recycle or Life di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, Berapit, semalam.
A
A
A

PERMATANG PAUH - "Serahkan kepada kepimpinan parti, masa sekarang tumpukan untuk kerja membantu masyarakat."

Demikian respons Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengenai pelantikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah berkata pelantikan tersebut sudah disahkan oleh ibu pejabat PKR sendiri.

“Segala pertikaian berhubung pelantikan itu boleh dirujuk kepada pihak ibu pejabat kerana beliau hanya menjalankan kerja dan tugas mengumumkan perkara itu seperti diamanahkan.

“Saya hanya menjalankan kerja dan tugas, jika ada pertikaian mereka boleh bertanya kepada pihak ibu pejabat sendiri. Ibu pejabat sudah mengesahkan apa yang berlaku dan pelantikan ini dibuat mengikut garis panduan dan perlembagaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan My Kasih Love My School dan Program Kitar Semula Recycle or Life di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, Berapit di sini, semalam.

Terdahulu, bekas Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman menyifatkan bahawa pelantikan itu adalah satu tindakan tidak betul semasa menghadiri Majlis Perkahwinan anak lelaki Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Guar Petai, baru-baru ini.

Mansor dilaporkan berkata, pelantikan kepimpinan negeri yang dibuat pada mesyuarat dipengerusikan Nurul Izzah itu dianggap tidak betul kerana ia sepatutnya diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mempertikaikan berhubung pelantikan pemangku bagi jawatan itu.

Muhammad Bakhtiar dilantik sebagai Pemangku Pengerusi PKR negeri menggantikan Nurul Izzah yang mengumumkan peletakan jawatannya pada Disember lalu.

Pelantikan Muhammad Bakhtiar, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, dibuat pada mesyuarat tertutup Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang di Yayasan Aman, minggu lalu.