PRK DUN Slim: 49 peratus keluar mengundi awal

Anggota Polis menunjukkan jari berdakwat selepas selesai mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim hari ini. Foto: Bernama
Anggota Polis menunjukkan jari berdakwat selepas selesai mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pegawai dan anggota polis yang layak mengundi awal diminta untuk menunaikan tanggungjawab itu sebelum pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim ditutup pada jam 5.30 petang ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, seramai 267 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pembuangan undi berlangsung sehingga jam 5.30 petang.

“Jadi semua pegawai dan anggota yang layak mengundi di DUN Slim perlu hadir menunaikan tanggungjawab, amanah kepada negara untuk membuang undi hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Muallim di sini.

Koperal Muhammad Yazid Hamid (kiri) dan Koperal Mohamad Shahrum Nizam Ab Malik antara anggota terawal yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal di IPD Muallim hari ini.
Koperal Muhammad Yazid Hamid (kiri) dan Koperal Mohamad Shahrum Nizam Ab Malik antara anggota terawal yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal di IPD Muallim hari ini.

Laman Twitter SPR memaklumkan statistik keluar mengundi awal mencatat 49 peratus setakat jam 11 pagi.

Pada masa sama, Sulizmie Affendy berkata, proses pengundian awal yang bermula pada jam 8 pagi itu dijalankan secara berperingkat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), SOP perlu dipatuhi dan kita tidak mahu semua pegawai dan anggota datang serentak supaya tidak berlaku kesesakan.

Artikel Berkaitan:

“Kita boleh mengamalkan normal baharu seperti mana yang disarankan oleh SPR, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau turut berpuas hati tahap pematuhan SOP sepanjang proses mengundi awal itu.