Parti baharu: Harap Syed Saddiq tak terpengaruh mana-mana pemimpin

Syed Saddiq (kiri) dan Mohd Ashraf Mustaqim.
Syed Saddiq (kiri) dan Mohd Ashraf Mustaqim.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan tahniah kepada bekas ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bercadang menubuhkan sebuah parti baharu berasaskan belia.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pihaknya menyambut baik usaha Ahli Parlimen Muar itu untuk membawa gelombang baharu dalam arena politik tanah air.

"Selaku wakil sebuah sayap pemuda, saya positif dengan saranan Syed Saddiq sepertimana yang dipetik melalui laporan media, apa yang telah dinyatakan bekas Ketua Armada itu bahawa "pada akhirnya, anak muda tidak boleh dipandang ringan lagi. Sudah sampai masanya pada hari ini bahawa politik tidak akan dikuasai oleh orang yang sama - dikawal dan dimonopoli oleh orang tua yang sama."

"Dari pernyataan beliau itu, diharapkan Syed Saddiq mampu teguh dalam mengemudi parti baharu tanpa keterikatan dan pengaruh daripada mana-mana pemimpin 'veteran' sedia ada, dalam pada secara idealnya kita selaku pemimpin muda dapat membentuk suatu kematangan politik dalam kalangan masyarakat kelak untuk tidak terikut-ikut dengan politik sosok utamanya.

"Namun suatu hal yang idealis itu tetap perlu bersulam dengan realiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Syed Saddiq tubuh parti baharu

Dalam pada itu, beliau tidak menolak sebarang kerjasama pada masa depan atas nama anak muda.

"Mewakili Armada seluruh Malaysia, dengan santun dan rendah hati ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Syed Saddiq atas jasa bakti beliau menerajui Armada dan membuka platform ini untuk kami terus berjuang.

"Armada turut mendoakan kejayaan Syed Saddiq dalam menerajui gerakan baharu selaku 'pesaing' politik dan tidak menolak sebarang kerjasama dalam agenda membangunkan negara.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pada itu kami akan terus berusaha dan berkhidmat di bawah kepimpinan Ketua Armada yang baharu, Wan Ahmad Fayhsal," katanya.

Semalam, Syed Saddiq mengesahkan beliau tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti baharu yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya akan menubuhkan parti politik baharu berbilang kaum dan memfokuskan belia.

Katanya, politik Malaysia tidak akan 'dikawal dan dimonopoli' orang sama dan parti baharunya terdiri daripada teknokrat, profesional dan ahli politik muda pelbagai latar belakang.