Golongan B40 perlu berani berubah

Bantuan Prihatin Nasional (BPN) -Foto Bernama
Bantuan Prihatin Nasional (BPN) -Foto Bernama
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Golongan berpendapatan rendah (B40) terutamanya di bandar-bandar perlu berani berubah dan beradaptasi dengan normal baharu bagi mengelakkan mereka terus terhimpit dalam kemelut kemiskinan angkara Covid-19.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass berkata, selain daripada langkah-langkah yang diumumkan menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan, golongan B40 harus berusaha untuk menangani impak pandemik Covid-19 pada tahap individu.

“Cabaran kini adalah untuk melakukan perubahan. Terdapat kekurangan keyakinan untuk melaksanakan perubahan berikutan terpaksa melalui situasi baharu dan persekitaran yang memerlukan mereka untuk mengadaptasi,” kata beliau kepada Sinar Harian semalam.

Anthony menambah, perubahan sukar dilakukan jika mereka berasa mudah berpuas hati dengan persekitaran, struktur dan keadaan sebelum Covid-19.

Untuk rekod, golongan B40 mewakili kumpulan 40 peratus orang yang berpendapatan rendah. Kumpulan itu dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu B1 (kurang daripada RM2,499), B2 (RM2,500-RM3,169), B3 (RM3,170-RM3,969) dan B4 (RM3,970-RM4,849)

Menurut Anthony yang juga Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), perhubungan sosial melalui pemberian bantuan harus dipertingkatkan.

“Ia akan mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kuasa beli pengguna dan simpanan, selain itu gaya hidup juga perlu diubah.

“Adalah penting untuk meningkatkan perkembangan modal insan menerusi latihan, pendidikan dan kemajuan individu.

Artikel Berkaitan:

“Kemahiran, persepsi dan harapan individu harus diberi penekanan supaya setiap individu mempunyai perspektif luas berhubung keperluan untuk berubah dan sedia untuk menerima perubahan,” katanya.