Miskin bandar terpaksa pilih telur, mi segera

Rata-rata ramai miskin bandar kehilangan sumber pendapatan selepas diberhentikan kerja, gaji dipotong atau tidak boleh berniaga.
Rata-rata ramai miskin bandar kehilangan sumber pendapatan selepas diberhentikan kerja, gaji dipotong atau tidak boleh berniaga.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KUALA LUMPUR - Telur, nasi dan mi segera menjadi antara makanan utama penduduk warga kota berpendapatan rendah (B40) yang sering dirujuk sebagai miskin bandar sewaktu siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) melalui kajian bertajuk Families on the Edge di 16 projek perumahan awam (PPR) di Kuala Lumpur mendapati menu itu mendapat peratusan tertinggi kerana pendapatan responden berkurangan atau terkesan dengan pelaksanaan PKP.

“Kami terpaksa mengurangkan pengambilan makanan. Kami terpaksa berjimat. Biasanya kami akan masak nasi goreng untuk makan tengah hari dan malam,” kata H, 33, seorang suri rumah.

Keputusan kajian perbelanjaan makanan itu adalah selari dengan keputusan kajian melibatkan pekerjaan dan pendapatan yang menyaksikan gaji purata bulanan ketua keluarga menurun satu pertiga kepada RM1,000 sebulan sejak PKP dilaksanakan.

Pengarah Urusan DM Analytics Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, menerusi kajian yang menumpukan golongan wanita dan kanak-kanak itu, 52 peratus daripada 530 ketua keluarga yang ditemui mengakui telur adalah makanan yang sering dibeli.

Katanya, dapatan menunjukkan telur yang merupakan antara sumber protein termurah menjadi pilihan pertama isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan iaitu sebanyak 52 peratus diikuti nasi (41 peratus), mi segera (40 peratus), buah-buahan (24 peratus) dan makanan ringan serta manisan (13 peratus).

“Kita lihat bagaimana mereka uruskan makanan. Kalau tidak boleh kerja, tiada pendapatan, makan pun kurang. Ada yang hanya akan masak nasi goreng untuk menu tengah hari dan makan malam.

“Ramai yang gunakan telur kerana harga protein lain mahal. Mi segera pun naik kerana itu yang paling murah,” katanya selepas membentangkan hasil kajian tersebut di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Telur yang merupakan antara sumber protein termurah menjadi pilihan golongan miskin bandar sebagai menu harian mereka sepanjang pandemik Covid-19.
Telur yang merupakan antara sumber protein termurah menjadi pilihan golongan miskin bandar sebagai menu harian mereka sepanjang pandemik Covid-19.

Kajian sosioekonomi itu merangkumi 500 isi rumah yang menetap di 16 PPR dan perumahan awam di Kuala Lumpur antaranya PPR Intan Baiduri, PPR Taman Wahyu, PPR Batu Muda, PPR Kampung Baru Air Panas, PPR Seri Semarak, PPR Seri Sabah, PPR Pantai dan PPR Desa Tun Razak.

Dari segi takrifan, golongan B40 di Malaysia merujuk kepada kumpulan isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,360 sebulan.

“Pembuat dasar atau kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk bertindak balas terhadap kajian ini supaya dapat menyokong kehidupan dan kesejahteraan keluarga yang terjejas,” katanya melalui hasil kajian laporan 35 muka surat itu.

Dalam pada itu, Muhammed menggesa kerajaan menyediakan perlindungan sosial dan bantuan agar golongan B40 boleh terus menjana pendapatan walaupun berdepan wabak Covid-19.

“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara one off tidak mampu memberi jalan keluar buat golongan ini yang memerlukan pendapatan untuk jangka masa panjang.

“Mereka ini bukan golongan yang meminta-minta kerana bukan hanya duduk di rumah.

“Apa yang mereka mahukan adalah penjanaan pendapatan untuk berniaga, tempat dan peralatan untuk berniaga. Mereka harus diberi perlindungan sosial.

“Selain itu, isu kesihatan mental, fizikal dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh diabaikan kerana ia adalah hal yang saling berhubung kait dan perlu diberi penekanan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia pada Julai lalu turut menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 daripada RM980, hasil daripada ulasan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu.

Malaysia merekodkan kes pertama jangkitan Covid-19 pada 24 Januari lalu melalui kedatangan pelancong dari China.

Kemudiannya pada 18 Mac, kerajaan memperkenalkan PKP selepas mengesan peserta-peserta Ijtihad Masjid Sri Petaling di sini dijangkiti koronavirus.

Dari kiri: Ketua Polisi Sosial UNICEF Malaysia, Stephen Barrett; wakil UNICEF di Malaysia, Dr. Rashed Mustafa Sarwar; wakil UNFPA di Malaysia, Marcela Suazo dan Dr Muhammed menunjukkan laporan Families on the Edge di Kuala Lumpur semalam.
Dari kiri: Ketua Polisi Sosial UNICEF Malaysia, Stephen Barrett; wakil UNICEF di Malaysia, Dr. Rashed Mustafa Sarwar; wakil UNFPA di Malaysia, Marcela Suazo dan Dr Muhammed menunjukkan laporan Families on the Edge di Kuala Lumpur semalam.