X

Kindly register in order to view this article
!

Dewan Rakyat lulus RUU MKN (pindaan) 2020

Istana Negara
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 bagi menambah baik Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776) diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan mendapat sokongan suara terbanyak ahli Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu yang turut memastikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus melaksanakan fungsinya agar tadbir urus keselamatan negara dapat dilaksanakan secara berkesan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Seramai 11 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu.

Antaranya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) yang menyokong rang undang-undang itu dan menyatakan akta sedia ada tidak mencerminkan perkongsian kuasa antara Yang di-Pertuan Agong dengan rakyat menerusi demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, sekiranya negara hanya memusatkan kuasa kepada satu institusi sahaja seperti Perdana Menteri, maka ia bertepatan dengan klise politik ‘absolute power corrupt absolutely’.

“Kalau kita lihat dalam Perlembagaan semua perkara yang penting mesti dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Jadi sebab itu dalam soal perkongsian kuasa ini, ia bukan sahaja mesti dilakukan tetapi mesti nampak dilakukan,” katanya.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) pula berkata, rang undang-undang itu dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa apabila kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bangkit mencelah dan mencadangkan kerajaan menjemput Ketua Pembangkang menyertai mesyuarat MKN bagi mengelakkan salah guna kuasa, memandangkan amalan itu turut dilaksanakan di United Kingdom.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Takiyuddin berkata selaras dengan Seksyen 10 akta itu, mana-mana individu yang mempunyai pengetahuan termasuk Ketua Pembangkang boleh dijemput sebagai ahli sekiranya terdapat keperluan berkaitan atau perkara yang dianggap mengancam keselamatan negara.

Rang undang-undang itu bertujuan meminda peruntukan berhubung kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan dengan memberi kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong, dan susulan itu, pindaan Seksyen 18 Akta 776 tidak akan menjejaskan peranan MKN sebagai penasihat dalam perisytiharan mana-mana kawasan keselamatan.

Selain memperkemas dan memperkukuhkan keanggotaan MKN, rang undang-undang itu juga untuk meningkatkan penalti bagi kesalahan melanggar obligasi kerahsiaan maklumat berhubung hal ehwal MKN serta memastikan kuasa membuat peraturan di bawah akta berkenaan tidak terletak pada Perdana Menteri sahaja, sebaliknya adalah hasil keputusan bersama musyawarah MKN.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!