Pelukis pelan rugi RM841,000 diperdaya 'pegawai polis'

Shamsul Amar Ramli
Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Seorang pelukis pelan kerugian lebih RM800,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian bermula 19 Mac lalu itu, wanita berusia 64 tahun itu telah menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Suspek mendakwa mangsa telah terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan akan dikenakan denda penalti sebanyak RM630,000.

"Mangsa yang risau dengan dakwaan itu kemudiannya telah menyerahkan semua maklumat perbankannya kepada suspek," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menyedari telah tertipu selepas membuat semakan dan mendapati wang miliknya telah dipindahkan ke dalam beberapa akaun berbeza.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM841,000.

"Mangsa kemudian telah buat laporan polis pada Sabtu lalu.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Amar mengingatkan orang ramai supaya merujuk kepada polis, ahli keluarga, rakan untuk pengesahan sekiranya menerima panggilan sedemikian selain tidak mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelakkan ditipu suspek.

"Orang ramai juga boleh membuat semakan nombor akaun yang diberi suspek atau yang berkaitan di www.ccid.rmp.gov.my/semakmule, Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police atau CCID Infoline di talian 013-2111222 bagi mengenal pasti sekiranya akaun terbabit mempunyai rekod atau sebaliknya," katanya.