X

Kindly register in order to view this article
!

Kain batik seludup bernilai RM120,000 dirampas

Kain batik seludup bernilai RM120,000 yang dirampas.
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas 2,400 helai kain batik seludup bernilai RM120,000 selepas menahan sebuah kenderaan di Jeram Perdah di sini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, dalam serbuan jam 6.45 petang itu, seorang kelindan kenderaan tersebut ditahan manakala pemandunya melarikan diri.

Menurutnya, ketika melakukan rondaan rutin, anggotanya telah ternampak dua buah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Jeram Perdah ke Rantau Panjang.

"Salah sebuah daripada kenderaan itu berjaya ditahan, namun pemandunya melarikan diri daripada dicekup.

"Bagaimanapun seorang kelindan kenderaan itu berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui beberapa bungkusan guni berwarna putih mengandungi kain batik pelbagai corak.

"Siasatan awal mendapati kain batik itu dibawa masuk kemungkinan menerusi pangkalan haram untuk pasaran tempatan.

"Kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Muhammad berkata, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata, PGA turut merampas pelbagai mainan seludup dari Thailand bernilai RM3,000 di pangkalan haram Lubok Gong di sini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!