Kerajaan perlu tambah dana suntikan fiskal: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mempertimbangkan semula skala suntikan dana fiskal yang lebih besar dan berkesan bagi memastikan usaha untuk memulihkan ekonomi negara dapat dilakukan secara menyeluruh.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana cadangan suntikan dana fiskal tambahan berjumlah RM45 bilion kecil berbanding kadar penguncupan 17.1 peratus yang direkodkan pada suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, kadar penguncupan di Malaysia juga jauh lebih tinggi berbanding negara jiran.

"Kadar penguncupan suku kedua ini mengejutkan kerana ia jauh berbeza daripada unjuran kerajaan dan Kementerian Kewangan. Justeru, kita bukan nak salahkan kerajaan membuat unjuran salah.

"Kita harus realistik bahawa penguncupan sebegini mengundang parah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan saya mahu menyatakan beberapa contoh perbandingan dengan beberapa negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini kerajaan perlu memastikan suntikan lebih besar dan berkesan dilakukan.

"Saya mahu menumpukan khusus kepada suntikan fiskal kerana akan menyentuh secara langsung daripada kerajaan untuk sektor yang memerlukan bantuan segera.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi dan pemacuan ekonomi itu dapat dipercepatkan," katanya.