X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

'Khairuddin perlu bersih nama di mahkamah'

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali perlu membersihkan namanya di mahkamah supaya dapat meredakan kegusaran rakyat selepas melanggar kuarantin wajib selama 14 hari.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, mahkamah boleh mempertimbangkan sama ada memulangkan gaji empat bulan dan meringankan hukuman jika didapati bersalah.

"Ia juga dapat meredakan kegusaran rakyat kerana terdapat mereka yang didakwa dan dikenakan denda yang tinggi seperti 'makcik gelang'.

"Bolehlah Khairuddin menjelaskan kenapa dia tidak pakai gelang. Kenapa langgar kuarantin sampai dua belas kali? Apakah status negatif virus boleh jadi alasan untuk bergerak bebas?

"Mahkamah juga boleh mempertimbangkan sama ada memulangkan gaji empat bulan itu boleh meringankan hukuman jika didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana jika ada pegawai di kementerian Khairuddin turut mohon potong gaji supaya tidak dikenakan tindakan tata tertib.

"Justeru, berlapang dadalah kalau Mohd Khairuddin didakwa di mahkamah. Kalau hukumannya berat, Mohd Khairuddin akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan Menteri. PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti bertandinglah semula.

"Setidak-tidaknya nama baik kerajaan Pakatan Nasional (PN), Muafakat Nasional dan Pas tidak tercemar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Puad juga menggesa penyokong Ahli Parlimen Kuala Nerus itu supaya tidak membuat sindrom penafian sehingga mengeluarkan perkataan kesat hanya kerana tidak boleh menerima kritikan.

"Segelintir penyokong Mohd Khairuddin tidak boleh menerima kritikan. Seperti biasa keluarlah perkataan seperti bodoh dan tali barut DAP.

"Elok Mohd Khairuddin membersihkan namanya di mahkamah.

"Kenapa bersikap denial. Baru enam bulan merasai nikmat kuasa kita sudah lalai. Belum lagi 22 bulan. Janganlah berfikiran lapok. Bila dikritik itu dianggap pecah-belah tetapi buat salah tidak dianggap menjejaskan imej jamaah," tulisnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!