Berbudi bahasa dalam kehidupan

Dalam kehidupan moden yang hebat dan maju, budi bahasa jangan dilupakan dalam melayari kehidupan ini yang penuh ujian dan cabaran. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Dalam kehidupan moden yang hebat dan maju, budi bahasa jangan dilupakan dalam melayari kehidupan ini yang penuh ujian dan cabaran. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SIAPAPUN kita, budi bahasa mestilah diutamakan. Dalam kehidupan moden yang hebat dan maju, budi bahasa jangan dilupakan dalam melayari kehidupan ini yang penuh ujian dan cabaran.

Ibu bapa dan orang tua-tua dahulu sering menasihati anak-anak: “Sehebat mana kau berilmu dan maju, jangan sesekali lupa budi bahasamu pada setiap masa.” Pesanan itu sering diingatkan oleh ibu bapa yang mementingkan budi bahasa dalam kehidupan mereka.

Kenapa budi bahasa itu penting? Jawapannya, ia ada kaitan dengan akhlak dan tamadun Islam.

Orang yang tidak berbudi bahasa tentulah tidak berakhlak perangai dan perbuatannya sama ada melalui percakapan, gerak-geri dan juga tulisan di media baharu dan media sosial terutamanya pada masa sekarang.

Meskipun ia nampak kecil dan remeh, tetapi berbudi bahasa amat besar nilainya dalam kehidupan kita.

Kita diajar oleh ibu bapa dan guru dengan belajar berbudi bahasa sejak kecil hingga dewasa, hingga menjadi manusia yang pandai menghormati orang lain.

Sikap menghormati orang lain ini adalah menunjukkan sikap yang baik dan memancarkan akhlak yang murni.

Tidak rugi berbudi bahasa baik kerana ia menyumbang kepada ganjaran pahala.

Artikel Berkaitan:

Fenomena pada masa kini banyak kalangan kita yang sudah tidak menghormati orang lain melalui kecaman, mengutuk dan memaki-hamun orang lain dalam media baharu.

Perbuatan itu menunjukkan kita tidak berbudi bahasa dan tidak menghormati orang lain. Lakukan yang terbaik iaitu berita yang baik elok ditular, cerita yang aib jangan disebar.

Bidalan Melayu yang mempunyai ciri prosodi, menekankan tentang budi dan bahasa iaitu tekanan turun naik suara dan tekanan yang berbeza mengikuti situasi penekanan maksud.

Contohnya seperti: “Hidup kayu berbuah/hidup manusia biar berfaedah, Ikut rasa binasa, ikut hati mati”, “Bawa resmi padi dan makin berisi makin tunduk”.

Orang Melayu dahulu menggunakan pesanan, pepatah, bidalan dan pantun. Dalam kehidupan masyarakat Melayu juga menyanjung tinggi mereka yang berbahasa dan berbudi.

Jiwa

Setiap kata-kata yang keluar dari mulut seseorang akan dinilai, dirasa dan difahami sama ada ia menjurus kepada kebaikan atau keburukan.

Masyarakat Melayu juga menganggap bahasa itu adalah jiwa kepada sesuatu bangsa. Hal itu jelas melalui ungkapan, “Bahasa Menunjukkan Bangsa”, “Bahasa Jiwa Bangsa” yang sering kita dengar dan fahami.

Dalam Islam nilai adab, budaya, akhlak dan kesopanan sangat penting sebagai fungsi masyarakat untuk merealisasikan perasan-perasaan Islam.

Nilai akhlak dan kesopanan adalah sama dengan fungsinya terhadap akidah, pemahaman, syiar dan emosi dalam kehidupan. Tak guna berilmu tinggi dan beramal ibadah, tetapi akhlak dan budi bahasa tidak dijaga.

Imam al-Ghazali mengemukakan teori bagaimana hati dapat diasuh, dibina dan dibentuk agar menghasilkan budi bahasa yang mulia dan terpuji iaitu melalui ilmu latihan dan didikan, penundukan nafsu dan syahwat dan bersifat adil dalam berkata-kata dan menjaga kelakuan.

Justeru, nilai budi pekerti dan akhlak yang baik mestilah bermula dalam kehidupan berkeluarga.

Lantaran itu, untuk mempraktikkan budi pekerti dan budi bahasa serta akhlak yang baik semuanya mesti bermula dalam rumah tangga dan keluarga.

Amalan yang baik itu dapat dijadikan contoh dan teladan kepada anak-anak yang akan mewarisi kehidupan kita pada masa akan datang.

Oleh itu, budi pekerti dan akhlak mestilah diutamakan dalam kehidupan. Ingatlah, bukanlah namanya masyarakat Islam apabila akhlak Islam iaitu akhlak orang yang beriman lenyap dalam kehidupannya, sementara perangai orang yang jahat menguasai kehidupan seharian.

Melalui nasihat dan teguran yang berhikmah daripada sesiapa sahaja akan dapat mendidik dan membimbing seseorang itu berakhlak baik dan berbudi bahasa dalam kehidupan.

* Dr Aminuddin Mansor ialah aktivis bahasa sastera dan budaya