Pusat data Microsoft siap 40 peratus

Pembinaan pusat data Microsoft di Kulai mampu merancakkan sektor ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di Johor. - Foto 123RF, gambar kecil: Hasni
Pembinaan pusat data Microsoft di Kulai mampu merancakkan sektor ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di Johor. - Foto 123RF, gambar kecil: Hasni
A
A
A

PASIR GUDANG - Syarikat gergasi teknologi global, Microsoft sedang membina sebuah pusat data di Kulai yang kini sudah pun siap kira-kira 40 peratus.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pembinaan pusat data itu dilihat mampu merancakkan sektor ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di negeri ini.

“Ia juga sekali gus dapat menarik syarikat-syarikat rangkaian Microsoft untuk datang ke Johor, membuat pelaburan (baharu) di sini yang mana ini adalah kelebihan dalam pembangunan pusat data," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Johor Perangi Denggi 2020 di Taman Mawar di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil; Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang dan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Hasni berkata, pembinaan pusat data itu diharapkan dapat menjadikan Johor sebagai negeri yang benar-benar berjaya melaksanakan inisiatif pendigitalan.

"Rakyat juga pada suatu ketika nanti dapat menggunakan sepenuhnya internet yang ada dan menjadikan Johor negeri yang berjaya laksanakan program pendigitalan,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga mendapat pertanyaan sebuah syarikat teknologi di Jepun yang menunjukkan minat untuk membina pusat data di negeri ini.

"Banyak pihak menghubungi kerajaan negeri menyatakan minat untuk meneroka bidang baharu dalam pelbagai pelaburan kerana menyifatkan Johor unik dan mempunyai banyak potensi untuk dimajukan," katanya.

Artikel Berkaitan: