Festival Kebudayaan Terengganu 2020 bermula 27 Ogos ini

Ariffin (depan, tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai kursus Kampung Budaya Terengganu di Quinara Al-Safir, Tok Jembal semalam.
Ariffin (depan, tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai kursus Kampung Budaya Terengganu di Quinara Al-Safir, Tok Jembal semalam.
A
A
A

KUALA NERUS – Terengganu akan menganjurkan Terengganu Cultural Festival 2020 atau Festival Kebudayaan Terengganu 2020 bermula 27 Ogos hingga 6 September ini di enam lokasi terpilih sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, program itu merupakan cetusan baharu untuk mengumpul dan menghimpunkan kesemua seni budaya warisan dalam satu festival.

Menurutnya, Festival Kebudayaan Terengganu akan diadakan di Primula Beach Hotel, Duyong Marina & Resort, Permai Hotel, Warisan Sari, Paya Bunga Square dan Paya Bunga Hotel dan Terradala di mana setiap lokasi itu mempunyai tema tersendiri.

“Sebagai contoh di Primula Beach Hotel, ia berkonsepkan perkampungan nelayan di mana pengunjung akan disajikan dengan pameran nelayan berkolek, pertunjukan kebudayaan, bicara kebudayaan dan juga seni kraf Terengganu.

“Di Duyong Marina & Resort pula bertemakan cerita duyung iaitu kita tampilkan khas pelukis profesional, Taib Aur yang akan mempamerkan hasil karya beliau, persembahan rodat, silat gayung, bicara pembuatan bot dan perahu oleh tukang bot tersohor, Wan Hashim.

“Lokasi lain seperti Hotel Permai akan mengetengahkan Wau Sobek, Warisan Sari menyajikan alunan Gamelan Sari, pertunjukan gasing terbang di Paya Bunga Square & Hotel dan caritra Langkasuka di Terradala,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Kampung Budaya Terengganu yang berlangsung selama dua minggu bermula 8 Ogos lalu melibatkan seramai 56 peserta di Quinara Al-Safir, Tok Jembal di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rashid Jusoh.

Artikel Berkaitan:

Kampung Budaya berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan iaitu di Muzium Negeri itu akan dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 3 September ini.

Ariffin berkata, Festival Kebudayaan Terengganu 2020 yang menjadi platform dalam memperkenalkan kebudayaan, kesenian dan warisan yang ada di Terengganu kepada dunia dijangka dapat menarik seramai 10,000 pelancong tempatan.

“Selain memartabatkan seni warisan budaya, kita mahu generasi sekarang dan akan datang tahu erti nilai khazanah kesenian dan kebudayaan yang kita ada ini agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.