Sindiket palsu dokumen didalangi warga Bangladesh tumpas

Antara barang yang dirampas susulan tumpasnya dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Bangladesh.
Antara barang yang dirampas susulan tumpasnya dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Bangladesh.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Bangladesh tumpas selepas 11 warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan dalam serbuan berasingan di ibu negara, kelmarin.

Serbuan sepasukan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa dan Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Putrajaya bermula jam 10 malam itu di sebuah rumah di Danau Desa berjaya menahan lapan individu termasuk dua warga Bangladesh disyaki dalang sindiket.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan dari Bangladesh serta dua wanita Indonesia dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia juga ditahan dalam operasi tersebut.

"Kita menemui 177 pasport warganegara asing, salinan transaksi bayaran, wang tunai berjumlah RM4,000, dua komputer, dua mesin pencetak dan sebuah kereta Perodua Alza dipercayai milik salah seorang suspek.

"Turut ditemui dalam serbuan adalah beberapa salinan slip permohonan Rehiring MYEG," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Antara barang yang dirampas susulan tumpasnya dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Bangladesh.
Antara barang yang dirampas susulan tumpasnya dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Bangladesh.

Menurutnya, modus operandi sindiket membabitkan tawaran perekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pelanggan terdiri daripada warga Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan di sekitar ibu kota dengan bayaran sekitar RM6,500 hingga RM8,000 untuk setiap permohonan pertama.

"Untuk pembaharuan pula dikenakan caj sebanyak RM2,500. Semakan juga mendapati suspek bertindak sebagai ejen pekerja asing walaupun tidak berdaftar dengan kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sindiket kedua pula tumpas selepas tiga lelaki Bangladesh ditangkap dalam serbuan di sebuah apartmen di ibu negara kira-kira jam 2 pagi.

"Mereka disyaki menjalankan aktiviti mencetak PLKS dan Pas Khas kepada warganegara asing terutama dari Bangladesh.

"Turut ditemui adalah 58 keping pasport Bangladesh yang disimpan dan disorok dalam periuk nasi dan beras," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pasukan operasi turut menjumpai sebanyak enam keping perekat Visa Jabatan Imigresen dengan lima daripadanya bercetak," katanya.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 terhadap dalang sindiket kerana memalsukan dokumen manakala suspek lain disiasat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan boleh menggugat kedaulatan negara digesa tampil menyalurkan maklumat," katanya.