California musnah dijilat api

Pasukan bomba berhempas-pulas mengawal kebakaran di kawasan Azusa terletak 40 kilometer di timur Los Angeles. - Foto AFP
Pasukan bomba berhempas-pulas mengawal kebakaran di kawasan Azusa terletak 40 kilometer di timur Los Angeles. - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Kebakaran dahsyat di utara dan tengah California, Amerika Syarikat memaksa lebih ramai penduduk dipindahkan dengan segera selepas api semakin marak hingga menjejaskan kualiti udara dan menyebabkan langit bertukar gelap.

Api tersebut yang sebahagian besarnya dicetuskan oleh sambaran kilat pada awal minggu lalu di kawasan utara, timur dan selatan San Francisco turut diburukkan lagi oleh gelombang panas dan kelembapan yang rendah di negeri terbabit.

Arahan berpindah telah diperluaskan di beberapa daerah tengah malam tadi berikutan semakin banyak rumah musnah dijilat api yang turut meragut enam nyawa.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebahagian besar taman negara tertua di California. - Foto AFP
Kebakaran itu turut memusnahkan sebahagian besar taman negara tertua di California. - Foto AFP

Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CalFire) memaklumkan kira-kira 60,000 penduduk sudah dipindahkan manakala 100,000 lagi berada di bawah arahan pemindahan.

Difahamkan, salah satu kumpulan kebakaran terbesar digelar Kompleks Kilat LNU meliputi daerah Napa dan Sonoma telah memusnahkan 53,013 hektar kawasan dan sifar peratus dapat dikawal.

Pasukan bomba mendakwa kebanyakan kebakaran Kompleks Kilat LNU telah bergabung dan membentuk api lebih besar.

“Sejak empat hari lalu, terdapat lebih 370 kebakaran hutan baharu dan hampir 20 titik panas terus merebak seluruh California,” kata Penolong Timbalan Pengarah, Daniel Berlant.

Artikel Berkaitan:

Sebuah kediaman di Vacaville, California yang musnah dalam kebakaran Kompleks Kilat LNU pada Rabu lalu. - Foto AFP
Sebuah kediaman di Vacaville, California yang musnah dalam kebakaran Kompleks Kilat LNU pada Rabu lalu. - Foto AFP

Sehingga kini, kebakaran itu telah memusnahkan hampir 142,000 hektar kawasan di tengah dan utara California termasuk wilayah Sonoma serta Napa yang masih di bawah usaha pemulihan akibat kebakaran sejak beberapa tahun lalu.

“2020 menjadi tahun yang sangat mencabar. Dilanda pandemik koronavirus (Covid-19), kilat dan gelombang haba serta kebakaran. Tetapi, California masih terus bertahan,” kata Gabenor Gavin Newsom menerusi Twitter selepas mengisytiharkan perintah darurat di negeri tersebut.

Gambar satelit dikeluarkan Maxar Technologies dan NASA Terra MODIS menunjukkan permukaan ruang udara San Francisco yang diselubungi asap tebal akibat kebakaran Kompleks Kilat LNU. - Foto AFP
Gambar satelit dikeluarkan Maxar Technologies dan NASA Terra MODIS menunjukkan permukaan ruang udara San Francisco yang diselubungi asap tebal akibat kebakaran Kompleks Kilat LNU. - Foto AFP

Kompleks Kilat LNU itu turut memusnahkan 105 kediaman dan struktur serta mengancam lebih 30,000 bangunan lain.

Ketika ini, kebakaran juga melanda di beberapa negeri barat AS termasuk Washington, Colorado dan Montana.

Pada November 2018, seramai 86 terkorban dalam kebakaran paling dahsyat dalam sejarah di AS digelar Camp Fire yang berlaku di utara California. - AFP