Jangan berpecah, BN tak mudah menang di Sabah

Mohamad (dua dari kiri) pada program santai pagi di Medan Selera Slim River hari ini.
Mohamad (dua dari kiri) pada program santai pagi di Medan Selera Slim River hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan pimpinan parti bahawa laluan BN untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tidak mudah.

Menurutnya, kerajaan sedia ada di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menggunakan segala kelebihan dan kekuatan yang ada untuk mempertahankan kerajaan mereka.

"Kita pula perlu bekerja kuat untuk pastikan rakyat mengundi kita, jadi saya harap kita janganlah berpecah-pecah, jangan bersengketa.

"Kita mesti satukan tumpuan untuk cari jalan macam mana nak gerakkan jentera, jentera amat penting untuk memastikan kemenangan. Kalau belum masuk gelanggang lagi kita dah kalah, tak guna juga," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan beberapa Ketua UMNO Bahagian di Sabah dan sekumpulan pemimpin parti itu yang membantah pelantikan Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu.

Wakil kumpulan itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilapor berkata, pemimpin yang menjadi Ketua Jentera Pilihan Raya mestilan bebas daripada persepsi negatif yang boleh dimanipulasi oleh pihak lawan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sesiapapun individu yang mengetuai jentera BN pada PRN Sabah bukanlah perkara penting kerana matlamat parti dalam pilihan raya adalah lebih besar untuk menang dan menubuhkan kerajaan di negeri itu.

Justeru, beliau mahu semua pihak menghormati pendirian yang diputuskan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Presiden bila bercakap atas asas parti, ia telah pun dirunding elok-elok jadi semua mesti menerima bahawa itu adalah keputusan yang dibuat oleh parti," katanya.

Terdahulu Mohamad bersama calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz menghadiri program santai pagi di Medan Selera Slim River di sini.