Warga emas hilang ditemui lemas

Mayat Othman dijumpai terapung di sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat jam 7.39 pagi tadi selepas dilaporkan hilang Rabu lalu. (Gambar kecil: Othman)
Mayat Othman dijumpai terapung di sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat jam 7.39 pagi tadi selepas dilaporkan hilang Rabu lalu. (Gambar kecil: Othman)
A
A
A

KEMAMAN – Kehilangan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun di Pasir Manggang, di sini kelmarin terjawab apabila dia ditemui lemas dalam sungai di Kampung Pasir Gajah, pagi tadi.

Mayat Othman Daud, 79, dari Tanah Lot Kampung Pasir Gajah dijumpai terapung di sungai berkenaan oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 7.39 pagi tadi selepas dilaporkan hilang petang Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pasukan penyelamat berjaya menaikkan mayat mangsa dengan menggunakan sebuah bot sebelum dibawa ke khemah operasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

“Susulan penemuan tersebut, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dihentikan sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi ini,” katanya hari ini.

Kehilangan Othman disedari anaknya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun di Pasir Manggang jam 2.30 petang kelmarin sebelum laporan polis dibuat pada jam 8.18 pagi semalam.

Mangsa dikatakan menaiki sampan menyeberang sungai untuk pulang ke rumahnya selepas membersih kebunnya tidak jauh dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun sampan dinaiki mangsa dipercayai terbalik ekoran arus sungai yang deras dan mangsa dipercayai lemas.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ayah hilang selepas ke kebun