Tidak ada sebab Bersatu tidak boleh diraikan: Pas Selangor

Roslan Mohd Shahir
Roslan Mohd Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pas dan UMNO yang berbalah dan bertelagah puluhan tahun telah pun mengetepikan perbezaan demi agenda mulia lebih besar, maka tidak ada sebab Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh diraikan.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ketiga-tiga parti berkenaan kini memayungi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Rakyat jelata khususnya umat Melayu Islam sedang menaruh harapan tinggi kepada kita kerana mereka telah muak dan bosan dengan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP dan konconya.

"Mereka yakin hanya Muafakat Nasional (MN) yang mampu menyelamat dan melindungi mereka kerana itu janganlah harapan itu dipersiakan lantaran kegagalan kita bertolak-ansur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, umat Melayu Islam dan Bumiputera sebagaimana diperakui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini masih jauh ketinggalan dalam sektor ekonomi sedangkan mereka merupakan majoriti penduduk dalam negara.

"Kepada siapakah mereka mahu bergantung harap selain MN, maka fikirkanlah nasib mereka itu," katanya.

Tambah beliau, masa untuk berpolitik, berebut kuasa dan cantas-mencantas sudah tiada malah jangan diulangi amalan PH sehingga kuasa di tangan terlerai dan masing-masing tersembam ke bumi.

Menurutnya, Pas, UMNO dan Bersatu serta rakan-rakan parti yang lain termasuk dari Sabah dan Sarawak perlu merintis jalan damai kerana rakyat dahagakan kestabilan dan kemakmuran.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan Pas, Bersatu bakal gugat hubungan baik BN

"Lalu menjadi tanggungjawab kita untuk membuktikan pada mereka yang permuafakatan kita mampu dan memiliki keupayaan untuk memberikan pada mereka apa yang mereka inginkan itu.

"Jangan sekali-kali membuka ruang pada pihak musuh untuk mengadu-domba dan mencerai-beraikan kita kerana mereka sendiri telah gagal serta tiada lagi masa depan. Jika kita berjaya sampai bila-bila mereka tidak akan mampu bangkit lagi," katanya.

Beliau berkata, dinamik politik Malaysia hari ini membentuk politik baharu dengan meninggalkan jauh politik rasis, ekstremis dan perjuangan peribadi.

"Politik baharu ini hanya mampu dibawa dan diperjuangkan mereka yang ikhlas dan teguh jati diri. Di saat ini kualiti itu hanya ada pada MN. Maka pimpinlah sebaiknya politik baharu ini hingga berjaya," katanya.