Dua menara komunikasi baru dibina di DUN Slim

Saifuddin melihat keratan akhbar yang dipaparkan di papan maklumat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim sempena Majlis Ramah Mesra bersama Media hari ini.
Saifuddin melihat keratan akhbar yang dipaparkan di papan maklumat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim sempena Majlis Ramah Mesra bersama Media hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Dua menara telekomunikasi baharu sedang dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam usaha menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dua menara baharu di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) itu dilaksanakan di Felda Changkat Sulaiman dan Changkat Serunai yang dijangka mula beroperasi menjelang suku kedua tahun hadapan.

"Pada masa sama, kita juga sedang merancang untuk membina lima lagi menara baharu perkhidmatan 4G dan dalam proses menaik taraf 25 alat pemancar di menara sedia ada di kawasan ini daripada perkhidmatan 3G kepada 4G.

"Di Felda Besout, sebuah alat pemancar di menara sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G, awal tahun ini," katanya pada sidang media Majlis Ramah Mesra bersama Media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak tujuh pusat internet diwujudkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di dalam DUN Slim setakat ini.

"Lima daripadanya beroperasi di Felda Besout 1, 2, 3, 4 dan 5 manakala setiap masing-masing satu di Trolak Utara dan Trolak Selatan," katanya.

Beliau yakin, pelaksaan inisiatif-inisiatif itu dapat meningkatkan liputan dan kualiti capaian internet di kawasan Slim sekali gus membolehkan penduduknya mendapat manfaat menyeluruh dan membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

"Saya juga sedar masih terdapat keperluan untuk menaik taraf perkhidmatan telekomunikasi di beberapa tempat di DUN ini terutamanya di kawasan pedalaman, justeru usaha untuk menambah baik liputan dengan pembangunan infrastruktur sedang diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, kementerian sedang menambah baik 851 premis sedia ada di seluruh negara yang menggunakan rangkaian jalur lebar tembaga kepada rangkaian jalur lebar rangkaian optik yang boleh menyokong perkhidmatan internet berkelajuan tinggi sehingga 1Gbps.

"Inisiatif penaik tarafan yang akan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad ini dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2022," katanya.