X

Kindly register in order to view this article
!

'Keputusan Presiden UMNO langgar semangat autonomi Sabah'

Abdul Rahman (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar bersama 12 ketua UMNO bahagian Sabah di sini sebentar tadi.
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Pengerusi UUMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk menentukan calon ketua menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti didakwa melanggar autonomi UMNO negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan tersebut dilakukan Ahmad Zahid tanpa berbincang terlebih dahulu dengan ketua-ketua UMNO bahagian Sabah.

"Dalam pengumuman dibuat Presiden UMNO petang tadi (semalam), ramai ketua-ketua UMNO Bahagian Sabah tidak dirunding untuk mendapatkan keputusan bersama mengenai hal itu.

"Malah keputusan itu melanggar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah diluluskan pada perhimpunan Agung UMNO 2019 di mana keputusan berkaitan hal ehwal Sabah sepatutnya dibincang dan diputuskan di peringkat kepimpinan UMNO negeri itu.

"Ia antaranya soal hala tuju, kepimpinan negeri termasuk calon Ketua Menteri Sabah sekiranya UMNO adalah parti yang memenangi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) terbesar dalam PRN," katanya pada sidang akhbar tergempar yang diadakan bersama 12 ketua bahagian UMNO Sabah di Hotel Royal Chulan Damansara, di sini, malam tadi.

Katanya, beliau dan semua ketua-ketua bahagian yang hadir percaya bahawa rakyat Sabah mahukan UMNO negeri itu mempunyai kebebasan dalam menentukan hala tuju politik mereka tanpa campur tangan pusat di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan BN menyerahkan kepada Bung Moktar untuk menentukan calon ketua menteri selepas gabungan itu menang pada PRN Sabah.

Tambahnya, Bung Moktar selaku Pengerusi BN Sabah diberi kuasa autonomi untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, keputusan meletakkan Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mengetuai jentera bagi menghadapi PRN Sabah juga disifatkan sebagai langkah atau strategi 'bunuh diri'.

"Tidak ada mana-mana parti politik dalam dunia ini yang meletakkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah untuk mengetuai jentera pilihan raya, itu adalah 'suicidal move'.

"Malah, kami melihat ini juga sebagai satu penghinaan besar kepada UMNO Sabah khususnya rakyat negeri ini secara amnya," katanya.

Tegasnya, seseorang yang menjadi ketua jentera pilihan raya negeri UMNO Sabah mestilah bebas dari persepsi negatif yang boleh dimanipulasikan oleh pihak lawan, mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan rakyat serta tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan-rakannya dalam PRN.

"UMNO Sabah ada peluang besar serta mempunyai banyak sebab untuk menang kerana Warisan (parti Warisan Sabah) terbukti mempunyai kepimpinan yang lemah serta gagal dalam pentadbiran mereka.

"Jadi kenapa kita bagi peluru kepada pihak lawan?Jangan kita tembak kaki sendiri dan beri ruang mereka manipulasi isu-isu tertentu," katanya.

Tegasnya, beliau yakin pendiriannya bersama rakan-rakan ketua bahagian yang hadir semalam akan disokong oleh ramai kepimpinan UMNO di semua peringkat dan rakyat Sabah.

"Kami yakin jumlah yang menyokong akan bertambah selepas sidang akhbar ini dan berharap Presiden UMNO dapat menggunakan kebijaksanaannya dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap keputusan yang telah dibuat. Jangan ketepikan semangat autonomi yang beliau telah persetujui," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid serah kepada BN Sabah pilih Ketua Menteri


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!