Kegiatan jual air ketum tumpas

Antara barang yang dirampas dalam serbuan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, tengah malam tadi.
Antara barang yang dirampas dalam serbuan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, tengah malam tadi.
A
A
A

SEPANG - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dan jual air ketum dengan tertangkapnya tiga lelaki di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hasil maklumat dan risikan.

"Operasi berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 22 hingga 25 tahun.

"Kita telah merampas 147 bungkusan berisi daun ketum seberat 30 kilogram (kg), 15 bungkusan air ketum, satu botol ubat batuk, penimbang, tong ais, serta beberapa peralatan lain yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1,500," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, soal siasat mendapati salah seorang suspek mengaku terlibat dalam penagihan dan penjualan air ketum sejak lima hingga enam bulan lalu.

Katanya, semakan juga mendapati seorang daripada suspek memiliki satu rekod lampau bersabit kes dadah.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: