Bursa Malaysia ditutup tinggi

Jumlah dagangan hari ini di Bursa Malaysia ialah 5.31 bilion saham bernilai RM3 bilion.
Jumlah dagangan hari ini di Bursa Malaysia ialah 5.31 bilion saham bernilai RM3 bilion.
A
A
A

PERMINTAAN berterusan di kaunter pembuat sarung tangan seperti Hartalega dan Top Gloves diikuti oleh ketegangan antara Amerika Syarikat-China yang semakin reda, membantu indek utama di Bursa Malaysia ditutup kukuh ketika mengakhiri sesi pagi tadi.

Walaupun prestasi bursa serantau yang lain lebih bercampur-campur, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 10.66 mata kepada 1,571.4 daripada 1,560.74 ketika ditutup semalam.

Indeks utama yang dibuka lemah 1.1 mata kepada 1,559.64, bergerak antara 1,557.25 dan 1,576.87 sepanjang sesi pagi.

Hartalega dan Top Gloves melantun kukuh selepas kegiatan penjualan besar-besaran, masing-masing meningkat RM1.44 kepada RM17.00 dan RM1.76 kepada RM24.18.

Keuntungan di kedua-dua kaunter berkenaan telah menyumbang 19.309 mata kepada kenaikan indeks komposit.

Seorang peniaga berkata, aktiviti membeli semasa harga murah muncul untuk saham pengeluar sarung tangan selepas Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah dilaporkan sebagai berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada akan mengenakan cukai durian runtuh (windfall tax) ke atas industri yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang berlakunya penularan koronavirus (Covid-19).

Pergerakan harga keseluruhan pasaran di Bursa Malaysia positif dengan saham untung mengatasi saham rugi 530 berbalas 411 manakala 397 kaunter tidak berubah, 673 tidak diniagakan dan 23 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 5.31 bilion saham bernilai RM3 bilion.

Artikel Berkaitan:

Saham berwajaran tinggi, Tenaga meningkat enam sen kepada RM11.18 tetapi Maybank dan Public Bank lega enam sen, masing-masing kepada RM7.75 dan RM17.74, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare rugi tujuh sen, masing-masing kepada RM6.20 dan RM5.30.

Dalam kalangan saham paling cergas, Borneo Oil dan DGB susut setengah sen, masing-masing kepada 6.5 sen dan 5.5 sen, XOX turun 1.5 sen kepada 18.5 sen, Niche Capital menokok 4.5 sen kepada 33 sen manakala Sanichi kekal pada 7.5 sen.

Optimax yang hari ini disenaraikan di pasaran Ace, menambah 41 sen kepada 71 sen selepas 97.21 juta saham bertukar tangan.

Syarikat perkhidmatan pakar mata itu merancang menggunakan 49.31 peratus daripada RM21 juta yang dikumpul menerusi tawaran awam permulaan untuk perbelanjaan modal, 16.76 peratus untuk pembayaran semula pinjaman, 16.79 peratus untuk modal kerja dan 17.14 peratus untuk perbelanjaan penyenaraian.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 97.8 mata kepada 11,205.55, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 207.96 mata kepada 13,049.54 dan Indeks FBMT 100 meningkat 94.26 mata kepada 11,031.28.

Indeks FBM 70 mengukuh 198.29 mata kepada 14,225.3 dan FBM ACE melambung 315.41 mata kepada 9,859.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 79.25 mata kepada 13,257.47, Indeks Perladangan lega 9.19 mata kepada 7,036.88 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.13 mata kepada 140.98. - Bernama