Sukuk Prihatin RM500 juta dilancar, sukuk digital pertama Malaysia

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) diiringi Muhyiddin (kiri) dan Zafrul pada majlis pelancaran Sukuk Prihatin di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) diiringi Muhyiddin (kiri) dan Zafrul pada majlis pelancaran Sukuk Prihatin di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sukuk Prihatin patuh syariah bernilai RM500 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah dilancarkan hari ini, yang merupakan sukuk digital pertama Malaysia.

Majlis perasmian Sukuk Prihatin di Kementerian Kewangan itu disaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata terbitan sukuk itu merupakan hasil permintaan pelbagai pihak untuk turut membantu dalam usaha pemulihan negara yang mana ia boleh dilanggan oleh orang awam dan sektor korporat secara dalam talian.

“Saya terharu kerana kerajaan telah menerima tawaran dari rakyat yang jujur dan ikhlas yang ingin membantu kerajaan untuk menyokong pemulihan ekonomi negara,” katanya pada majlis perasmian sukuk itu.

Beliau berkata, hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada beberapa inisiatif yang telah dikenal pasti termasuk usaha meningkatkan kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar, menampung geran penyelidikan penyakit berjangkit di samping membiayai perusahaan kecil dan sederhana serta mikro terutama usahawan wanita.

Pada majlis perasmian tersebut, Seri Paduka berkenan menjadi pelabur terawal untuk sukuk berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: