MTIS kembali teruskan sesi pengajian dengan SOP ditetapkan

Pelajar MTIS kembali meneruskan sesi pengajian selepas maahad tahfiz itu dibuka semula pada 3 Ogos lalu.Gambar kecil:Mohd Zarimi
Pelajar MTIS kembali meneruskan sesi pengajian selepas maahad tahfiz itu dibuka semula pada 3 Ogos lalu.Gambar kecil:Mohd Zarimi
A
A
A

TEMERLOH - Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS) Temerloh meneruskan sesi pengajian bermula 3 Ogos lalu selepas ditutup hampir enam bulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

Pembukaan semula pusat pengajian itu mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mudirnya, Mohd Zarimi Shubrawi berkata, persediaan SOP bagi pembukaan semula MTIS bermula awal Julai lalu melalui proses sanitasi dijalankan pihak bomba di sekitar kawasan dan bangunan maahad tahfiz itu.

Menurutnya, pihak MUIP, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh telah membuat pantauan persediaan pematuhan SOP di MTIS sebelum membenarkan kemasukan semula pelajar-pelajar ke asrama.

"Para pelajar telah kembali ke asrama pada 3 Ogos lalu dan mereka telah diberikan taklimat berkenaan pengoperasian semula serta pendedahan SOP serta pengamalan normal baharu di maahad tahfiz," katanya ketika dihubungi.

Mohd Zarimi berkata, dalam misi membentuk generasi rabbani, pihak MTIS berjaya melahirkan empat pelajar yang telah khatam hafazan sepanjang tempoh PKP dan mereka kini mereka dalam proses memantapkan hafazan dan murajaah al-Quran.

"MTIS merangka tiga pelan pemantapan hafazan iaitu Road2Syahadah (R2S), Road2Khatam (R2K) dan OnTheRoad (OTR) bagi semua pelajar-pelajar pasca PKP supaya mereka dapat meningkatkan motivasi dan semangat baru untuk meneruskan sesi pengajian setelah lama berada di rumah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, MTIS juga menganjurkan Kursus Persijilan Kemahiran al- Quran (KPKQ) secara dalam talian kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Artikel Berkaitan:

Katanya, kursus KPKQ merupakan program persijilan jangka pendek yang disusun khas bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu-ilmu al-Quran.

"Sesi kelas KPKQ dijalankan pada hujung minggu secara dalam talian selama empat bulan bagi memudahkan peserta yang bekerja untuk mengikuti kursus ini.

"Kita juga meneruskan Kursus Pensijilan Photoshop (KPPs) di mana sesi kelasnya diadakan hanya pada hari Sabtu selama 3 bulan.

"Alhamdulillah, setakat ini kursus-kursus yang dijalankan mendapat sambutan sangat baik daripada masyarakat terutamanya daripada golongan dewasa," katanya.

Mohd Zarimi berkata, MTIS kini sedang membuka permohonan kepada pelajar Tahun Enam yang berminat untuk mengikuti kelas menghafaz al-Quran untuk sesi 2021.

Katanya, pengambilan hanya terhad kepada 10 pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan. Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi 019-961 0849 atau layari laman web www.istiqamah.my.