PH hipokrit tolak RUU Perbekalan, kata Pas

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyifatkan kesepakatan Ahli Parlimen Pembangkang yang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan dibentangkan di Dewan Rakyat semalam menyerlahkan betapa mereka sebenarnya bersikap hipokrit.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 menjadi topik hangat yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

Menurutnya, peruntukan berjumlah RM700 juta bagi tujuan memulih dan membantu ekonomi rakyat serta negara telah diluluskan.

“Namun, majoriti tipis diperolehi hasil undian belah bahagi oleh ahli-ahli Parlimen. Sudah pasti penolakan RUU Perbekalan ini adalah daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Walhal, pada sidang Parlimen bulan Mei lalu, mereka mendesak supaya dibahaskan segera bantuan kepada rakyat sehingga ada yang mengecam sidang Parlimen yang sekadar berlangsung satu hari.

“PH gemar bermain politik. Peruntukan seperti Prihatin dan Penjana bertujuan membantu ekonomi rakyat dan negara turut didesak untuk dibahaskan. Apabila, RUU Perbekalan yang bertujuan sama telah dibahaskan, mereka menolak pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, blok Bebas diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan untuk menambah bilangan menteri, timbalan menteri termasuk melantik individu sebagai duta khas bertaraf menteri sebagai satu pembaziran ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi akibat koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Parlimen di sini, pada Isnin.

Atas alasan itu, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, usul itu perlu ditolak sama sekali oleh dewan.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, bagaimanapun undian belah bahagi semalam menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti ahli Parlimen yang menjadi signal kerajaan yang sah.